Mutalib Uthman sah dipecat dari Muda, digantung keahlian

Oleh KIM SYAZIE

Pengerusi Muda Perak, Mutalib Uthman yang pernah berselisih dengan Muda kerana mengumumkan diri sendiri bertanding di Tapah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu, mengesahkan dirinya kini digugurkan dari jawatan itu dan digantung keahlian selama tiga tahun berkuatkuasa semalam.

Dalam satu surat hari ini, Setiausaha Agung Muda, Amir Abd Hadi memaklumkan tindakan menggugurkan Mutalib kerana telah melanggar arahan dan disiplin parti seperti mengumumkan niat untuk bertanding di Tapah pada PRU15 dengan menggunakan saluran dan poster rasmi parti tanpa persetujuan.

Selain itu katanya, Mutalib juga didapati telah meminta akses akaun rasmi Muda Perak dan menukar kata laluan yang menunjukkan niat untuk melakukan sabotaj kepada parti.

Bagaimanapun, Mutalib dalam ciapan di Twitter menafikan dakwaan Muda yang mengatakan beliau mahu menukar kata laluan di sosial media.

“Benar, saya dilucutkan jawatan dan digantung selama 3 tahun oleh @partimuda .

“Cuma dalam tuduhan ada nyatakan yang saya mahu sabotaj parti dengan menukar kata laluan.

“Saya ingin tegaskan, nak tukar kata laluan apa bendanya? Semua akaun MedSos (media sosial) itu saya yang buat,” kata Mutalib.

Berhubung tindakan Mutalib yang mengumumkan dirinya sendiri bertanding di Tapah, Muda berkata parti itu telah meminta Mutalib untuk menurunkan poster, namun tetap berdegil dan menuntut kerusi dalam pilihan raya.

“Beliau juga selepas dihubungi, menolak untuk menurunkan poster yang telah dinaikkan dan hanya akan menurunkan sekiranya dijanjikan kerusi dalam pilihan raya,” katanya.

Keputusan untuk menggantung Mutalib telah disampaikan padanya secara lisan dan pihak Muda turut mengucapkan penghargaan padanya atas sumbangan yang diberikan.

“Sebarang keputusan rayuan kepada keputusan JKEP ini, akan diputuskan usai rayuan diterima,” jelasnya.