Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoal pelantikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang masih berdepan pendakwaan di mahkamah menerusi ciapan Twitter tanpa menamakannya.
Menerusi ciapan itu, beliau berkongsi bagaimana Yang di-Pertuan Agong (YDPA) perlu melepaskan jawatan sebagai Ketua Negara jika dituduh atas satu kesalahan.
Mahathir yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata ketika beliau sedang mengimbas peruntukan Perkara 33A Perlembagaan Persekutuan.
“Ia berbunyi seperti berikut: YDPA hendaklah terhenti menjalankan tugas YDPA jika dituduh atas suatu kesalahan. Ia jelas sekali menunjukkan bahawa pertuduhan atas sebarang kesalahan adalah sangat serius sehingga seseorang seperti YDPA perlu menghentikan peranan sebagai Ketua Negara.
“Adakah TPM sepatutnya diberi layanan yang lebih baik berbanding YDPA?” tulis Dr M dalam ciapan tersebut yang merujuk kepada pelantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri di dalam kerajaan perpaduan.
Sementara itu, para netizen membalas dengan mempersoal peletakan jawatan sebagai perdana menteri ketujuh pada Februari 2020 tanpa tanpa berbincang dengan Majlis Presiden Pakatan Harapan.
“Pengkhianat. Bila PH menang Pilihan Raya Umum ke-14, Agong perlu sahkan dengan TPM pada waktu itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk melantik Tun M sebagai Perdana Menteri.
“Tetapi bila buat keputusan untuk letak jawatan, Tun lakukan seorang diri tanpa berbincang dengan kerajaan pada ketika itu,” pengguna Twitter yang berciap di akaun OO7User.
“Tun sendiri mengkhianati mandat rakyat apabila meletakkan jawatan tanpa perbincangan atau maklum kepada ahli PH yang lain.
“Tun juga melantik ahli Kabinet sendiri tanpa mengikut senarai yang diberikan parti. Perkara ini adalah untuk melengahkan taktik pemindahan kuasa dan dalam masa sama melemahkan PH dari dalam,” ciap Lokman Mohamad pula.
“Pastinya menyakitkan untuk Tun melihat orang yang Tun khianati dan penjarakan disebabkan dendam sudah berjaya menjadi Perdana Menteri.
“Separuh hidup Tun dibazirkan dengan cubaan menghentikan Anwar daripada memegang jawatan PM, namun nasib tidak menyebelahi Tun apabila Anwar dipilih menjadi PM ke-10,” demikian antara komen warganet.
Menurut pengguna Twitter Ahmad Ebak Malik, Perlembagaan perlu dibaca keseluruhan kerana anggota Kabinet itu dilantik mengikut Perkara 43(5) dan pencalonan ahli Parlimen pula mengikut akta-akta berkaitan dan Perkara 48 serta tiada bantahan dibuat pada hari penamaan.
Perkara 43(5) menyatakan pelantikan anggota kabinet boleh dibatalkan oleh Agong atas nasihat perdana menteri. Perkara 43(5) juga terkait dengan Fasal 4 Perlembagaan. Fasal 4 menyatakan tentang keperluan Perdana Menteri meletakkan jawatan sekiranya hilang sokongan majoriti ahli dewan rakyat.
Perkara 48 merujuk kepada perkara-perkara yang boleh menyebabkan seseorang hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen.
Baca juga CyberSecurity & JPDP akan siasat kebocoran data peribadi melibatkan 3 agensi