Hotel di Arab Saudi sering ‘main harga’, ikut suka batal tempahan sebab nak untung besar

Oleh KIM SYAZIE

Segelintir pengurusan hotel di Arab Saudi didakwa sering ‘bermain harga’ hingga sanggup membatalkan tempahan jemaah umrah semata-mata mahu mengambil harga tawaran yang lebih lumayan dan tinggi.

Perkara tersebut didedahkan Pensyarah Fiqh Fatwa Semasa di Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Apa yang lebih melampau kata Mohd Izhar, pihak pengurusan hotel di sana sewenang-wenangnya mengingkari perjanjian dan menukarkan jemaah ke hotel lain biarpun jemaah sudah tiba.

Walhal wang sudahpun dibayar secara tunai oleh pihak agensi pelancongan yang membawa jemaah umrah.

“Kalau tidak kerana Masjidil haram, Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah, saya yakin tiada siapa nak ke Saudi Arabia.

“Saya baru pulang. Benar pihak hotel main harga hingga sanggup batalkan booking bagi mengambil harga tawaran yang lebih lumayan.

“Makin melampau lagi apabila booking diambil daripada travel cash total kos, tapi apabila jemaah semua telah sampai, mereka ubah perjanjian dan tukarkan jemaah ke hotel lain yang tidak menepati apa yang dijanjikan,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Beliau yang berkongsi pengalamannya itu turut mengkritik bahawa pengurusan penginapan di Arab Saudi amat teruk.

“Mereka jadi sombong sebab tahu market tetap ada walaupun jemaah kena tipu setiap hari.

“Akhir kata, Semoga kita jumpa di Akhirat kelak wahai pak Arab,” katanya lagi.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan agensi pelancongan di negara ini kemungkinan akan menaikkan pakej Umrah dan Haji pada saat akhir sebelum para jemaah berlepas ke tanah suci Arab.

Ini dikatakan berpunca daripada kenaikan mendadak harga hotel di Kota Mekah dan Madinah.

Baca juga: 34 kali hadiri kenduri kahwin pada Disember? Kad laporan Idris Ahmad dikritik macam KPI ketua kampung