Pastinya banyak momen lucu dihadapi bakal raja sehari apatah lagi bila dinikahkan bapa pengantin perempuan sendiri.
Tidak tahu mengapa si bapa yang lebih gementar, lelaki tersebut tenang membetulkan bapa mentuanya yang tersalah sebut nama semasa mahu menikahkan anaknya dan pasangan.
Video tular itu dimuat naik di TikTok, @apexpetai95 menunjukkan seorang lelaki dengan tenang menyatakan nama yang disebut adalah nama bapanya.
“Eh eh eh itu nama ayah saya,” tenang pengantin tersebut menjawab yang disambut gelak ketawa tetamu yang hadir.
Malah kedengaran orang disekitar yang berseloroh memuji pengantin tersebut, mungkin bimbang bapanya pula yang bernikah dengan gadis pilihan hatinya.
Video tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada warganet yang bergurau mengenai ketakutan lelaki itu untuk dapat mak tiri baru.
“Tiba-tiba ayah dia yang kahwin, melepaslah dia,” komen pengguna TikTok, EkaRoziana.
“Cepat dia sedar, haha risau dapat mak tiri pula nanti,” komen pengguna lain, Eifina.