Tak sempat ke klinik dengan bas henti-henti, warga emas ditemui dengan inhaler di sebelah

Oleh KIM SYAZIE

Sering ditemani untuk ke klinik, warga emas ditemui rebah dipercayai akibat serangan jantung di pondok bas di Kampung Serkam Darat, Melaka hari ini.

Mangsa, Dol Samad Abu, 64, ditemui penduduk kampung dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd. Fadzli Othman berkata, laporan telah dibuat oleh orang awam.

Pemeriksaan polis serta pegawai perubatan di lokasi bagaimanapun mendapati mangsa telah pun meninggal dunia.

“Mangsa dipercayai telah diserang sakit jantung ketika sedang menunggu bas henti-henti untuk ke Klinik Kesihatan Serkam.

“Kita turut menemui ubat sedutan asma (inhaler) berdekatannya dan pelbagai jenis ubat lain di dalam beg dibawa,” katanya seperti dipetik Kosmo.

Mangsa lebih dikenali sebagai Pak Samad sering mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Serkam dan Hospital Melaka.

Seorang penduduk kampung berkongsi bahawa mangsa sering ditemani untuk ke klinik dan masih belum berkahwin.

“Mangsa ini belum berkahwin dan Pak Samad Abu ini memang dikenali penduduk kampung kerana sering dibantu untuk dibawa ke Klinik Kesihatan mahupun ke hospital besar.

“Mangsa tinggal bersama adiknya dan keterangan daripada ahli keluarganya juga mempercayai mangsa meninggal dunia kerana diserang sakit jantung,” katanya.

Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Baca juga: Mari nantikan satu-satunya peguam terakhir Siti Bainun, Siti Asiah muncul di mahkamah – Dr Malar