Agrico Qatar sedia melabur dalam sektor pertanian negara

Oleh MALAYSIADATELINE

Agrico Qatar, yang mempunyai kepakaran dalam pengeluaran sayur-sayuran, buah-buahan organik, akuakultur dan pengurusan sisa organik, bersedia untuk melabur dan menjalin kerjasama dalam sektor pertanian negara.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dalam kenyataan hari ini berkata kerjasama itu akan dilakukan menerusi anak syarikatnya iaitu Agrico Malaysia Sdn Bhd terutamanya bagi projek akuakultur, pertanian bersepadu, bekalan baja dan makanan ternakan.

“MAFS turut bersedia memudahcara kerjasama antara jabatan atau agensi di bawah kementerian dengan Agrico Qatar bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya ketika lawatan rasmi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Qatar pada Mac tahun lepas, Agrico Qatar menyampaikan surat komitmen untuk pelaburan berjumlah US$360 juta (RM1.5 bilion) dari syarikat tersebut dan menyatakan hasrat untuk melabur bagi pembangunan buah-buahan berkualiti premium dan fasiliti pengeluaran sayur-sayuran di Malaysia.

Hari ini Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi dan Pengasas Agrico Qatar Ahmed Hussain Al-Khalaf di Putrajaya, sebagai susulan terhadap cadangan kerjasama antara Agrico Qatar dalam sektor pertanian di Malaysia, kata MAFS.

— BERNAMA

Baca juga : Maybank perkenal ciri baru, tangani ‘scammers’