Bakal timang anak keempat, Jamal Abdillah minta peminat kongsi nama sesuai

Oleh KIM SYAZIE

Penyanyi terkemuka, Datuk Jamal Abdillah bakal menimang anak keempat bersama isteri Datin Zai Izzati Khiruddin pada Mac tahun ini.

Jamal mengharapkan peminat untuk berkongsi nama yang sesuai buat anaknya di Instagram miliknya atau isteri.

“Kalau peminat atau pengikut di laman sosial saya ada nama sesuai dengan maksud yang baik dan indah untuk bayi perempuan kami ini, boleh tinggalkan komen di laman Instagram saya dan isteri.

“Kami masih mencari nama yang sesuai lagi dan isteri pula hanya serahkan pada saya untuk memilihnya,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Ketika disoal mengenai perancangan untuk menambah anak, Jamal dan isteri memutuskan yang anak yang bakal lahir ini adalah yang terakhir. 

“Saya berasa sudah cukup kami memiliki empat anak iaitu dua pasang anak lelaki dan perempuan.

“Kalau nak tambah anak lagi, saya perlu fikirkan kos untuk kami besarkan dan menyara mereka hingga masuk ke universiti.

“Justeru, fokus kami sekarang untuk membesarkan anak-anak yang masih kecil ini dan memberikan pendidikan terbaik buat mereka,” tambahnya lagi.

Baca juga: Perlu pertolongan masa makan dan pakai baju, ibu risau anak terlalu manja