Seorang bekas guru berusia 50 tahun di Korea tidak mengaku dirinya meletakkan bahan terlarang dalam makanan pelajar tadika.
Wanita tersebut mendakwa cecair yang dimasukkan ke dalam makanan itu hanyalah air.
Namun segalanya terbongkar apabila ujian menunjukkan cecair tersebut mengandungi bahan pencuci dan bahan penghalau nyamuk.
Perkhidmatan Forensik Kebangsaan Korea berjaya mengesan penipuan guru terbabit yang melakukan perbuatan tersebut pada November 2020 di Seoul.
Bekas guru besar itu dijatuhi hukuman penjara empat tahun kerana memasukkan bahan terlarang ke dalam makanan murid-muridnya lapor Korea Times.
Mahkamah Daerah Selatan Seoul mensabitkan kesalahan wanita berusia 50 tahun itu atas tuduhan cubaan mencederakan kanak-kanak pada Khamis lalu.
Justeru itu, mahkamah turut memerintahkan 10 tahun sekatan pekerjaan terhadapnya di institusi kanak-kanak berkaitan.
“Tertuduh melakukan jenayah terhadap kanak-kanak sedangkan dia bertanggungjawab untuk melindungi mereka.
“Tertuduh juga terus membuat alasan yang tidak dapat difahami.
“Hakikat bahawa kanak-kanak itu sebenarnya tidak dicederakan telah dipertimbangkan apabila hukuman diputuskan,” kata mahkamah dalam keputusannya.
Baca juga: Makan ikan harga cecah RM3,000, wanita tak kisah bayar lebih asalkan sedap