Menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, Zii Jia terus jadi buruan penaja, kini duta LG

Oleh KIM SYAZIE

Pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia kini dilaporkan menjadi buruan penaja terkemuka biarpun prestasi jaguh badminton itu dilihat agak kurang memberangsangkan sejak akhir-akhir ini.

Pemain dunia itu berjaya meraih pembakar semangat yang baru apabila diumumkan sebagai duta produk syarikat elektronik kedua terbesar Korea Selatan, iaitu LG, lapor Utusan Malaysia.

Ini sekaligus dapat membantunya membuat persiapan memburu pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 kerana menyedari dia memerlukan dana yang besar untuk bertanding.

Menurut Zii Jia, tempoh penajaan yang akan berlangsung selama dua tahun sehingga temasya Olimpik Paris mampu melonjakkan semangatnya untuk menamatkan kemarau emas Malaysia di temasya itu.

“Saya rasa sebagai seorang pemain profesional, memang memerlukan dana untuk latihan dan kesemuanya, malah kos bertanding di luar negara juga sangat mahal ketika ini .

“Jadi dengan kehadiran jenama besar sebegini ia diharap akan menaikkan semangat saya selepas ini,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusan LG Electronics Malaysia, Justin Choi berkata, menjalin kerjasama dengan juara All England itu adalah pengalaman yang mengujakan.

“Keghairahan, ketabahan dan komitmennya untuk mengejar impian serta menerajui gaya hidup sihat adalah gambaran hebat bagi intipati jenama itu.

“Kami yakin Zii Jia akan memacu dan membuka laluan kepada rakyat Malaysia untuk menjalani kehidupan yang lebih bijak dan lebih baik melalui teknologi dan produk kami,” ujarnya.

Baca juga: Bapa anak 7 cakap Menu Rahmah mahal, netizen persoal kenapa nak makan setiap hari di kedai