Bekas pegawai bank Goldman Sachs Group, Roger Ng menggambarkan pengalamannya dipenjara enam bulan di Sungai Buloh bagai berada dalam neraka.
Menurutnya, dia terpaksa tidur di atas lantai simen dan tinggal bersama tikus sehingga terdedah dengan penyakit kencing tikus, leptospirosis.
Roger Ng berkongsi pengalaman tersebut dalam satu surat kepada hakim Amerika Syarikat (AS), Margo Brodie untuk merayu supaya diringankan hukuman.
Pada 4 April tahun lalu, Ng didapati bersalah oleh mahkamah di AS kerana bersubahat dalam penyelewengan dana 1MDB.
Berdepan dengan risiko dipenjara sehingga 30 tahun, Ng menyifatkan hukuman yang diterimanya di Malaysia sudah setimpal.
Bekas ketua pelaburan perbankan Goldman Malaysia itu ditempatkan di penjara Sungai Buloh sebelum diekstradisi ke AS.
“Sehingga hari ini, saya mendapati diri saya menjadi suka bersendirian apabila terus mengalami pengalaman kejam dan menekan ini.
“Tempoh yang dijalani tanpa cahaya matahari dan dalam keadaan terasing membuatkan saya jadi hilang akal dan takut,” katanya.

Menurut Ng, enam bulan yang ditempuhinya di Sungai Buloh itu membawa kesan buruk kepada mental dan fizikalnya.
Oleh yang demikian, dia memohon agar Brodie tidak memberikan tempoh penjara tambahan di AS dalam hukuman yang bakal dihadapinya.
Hukuman Ng bakal dijatuhkan pada 9 Mac di mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York.
Baca juga: Akta AUKU mungkin dipinda, parti politik boleh buka cawangan di universiti