‘Kami sedang menunggu anda’, keluarga Lionel Messi diancam samseng

Oleh KIM SYAZIE

Pasar raya milik keluarga isteri bintang bola sepak antarabangsa, Lionel Messi diserang oleh dua lelaki bersenjata baru-baru ini.

Melepaskan 14 das tembakan, penjenayah terbabit turut meninggalkan mesej ancaman ditujukan khas kepada kapten pasukan kebangsaan Argentina itu.

“Messi, kami sedang menunggu anda. Javkin adalah pengedar dadah, dia tidak akan melindungi anda,” kata mesej tulisan tangan itu.

Javkin yang dimaksudkan oleh penjenayah itu adalah Pablo Javkin yang memegang jawatan sebagai Datuk Bandar Rosario, di mana kejadian tersebut berlaku.

Menurut Javkin, serangan yang dilakukan oleh dua orang lelaki itu bertujuan untuk mencipta kekecohan di bandar kelahiran Messi itu.

Javkin turut mengesahkan bahawa pasar raya itu dimiliki oleh keluarga Antonela Roccuzo iaitu isteri dan ibu kepada tiga anak Messi.

Penolong Ketua Polis Wilayah, Ivan Gonzales memberitahu kepada media bahawa mesej itu ditinggalkan untuk ‘mencari perhatian’ semata-mata.

Tidak menyifatkannya sebagai ancaman, Gonzales turut melaporkan bahawa tiada mangsa yang terlibat berikutan premis berkenaan kosong ketika insiden berlaku.

Menurut saksi kejadian, dua lelaki itu tiba di pasar raya tersebut pada kira-kira jam tiga pagi sebelum beredar selepas melepaskan tembakan.

Baca juga: Terlalu menjiwai watak, Azhan Rani ‘belasah’ Fasha Sandha hingga patah tulang mata