Mydin sindir kad laporan 100 hari Ahli Parlimen Pas?

Oleh KIM SYAZIE

Kad laporan 100 hari Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin mencuri tumpuan, selepas kad laporan Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad, menjadi bahan sindiran netizen di media sosial.

Ini selepas wakil rakyat Pas itu merekodkan aktivitinya menghadiri ke program-program perkahwinan sebagai antara pencapaian sebagai Ahli Parlimen

Netizen menganggap kad laporan Mydin sebagai satu sindiran kepada kad laporan Ahli Parlimen Pas.

Menerusi poster yang dikongsi, Mydin meletakkan tujuh pencapaian dalam tempoh 100 hari, sekaligus membuatkan ramai membandingkan pencapaian ahli perniagaan itu dengan wakil rakyat Pas.

Antara tujuh pencapaian itu termasuklah; Melancarkan Menu Rahmah di 28 cawangan Mydin; 5,000 pek makanan Menu Rahmah diedar kepada UiTM; Sumbangan barang keperluan kepada 120 keluarga dan menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat 2023.

Selain itu, Mydin juga berjaya melakukan Jelajah Generasi Pintar melibatkan 400 murid, 5 buah sekolah; Memberikan sumbangan Food Bank Mydin setiap bulan; dan mendapat Putra Brand Awards 2022 Retail Category (Bronze).

“Selamba je MYDIN perli.. malu oi,” ciap pengguna Twitter.

“Masalahnya Mydin punya hasil kad laporan lagi nampak macam wakil rakyat punya kerja haha,” komen pula yang lain.

Mydin

Sementara itu, ada beberapa komen yang menarik perhatian di mana beberapa pengguna mendedahkan hakikat bahawa orang-orang kampung sangat menggemari jika wakil rakyat dapat turun menghadiri majlis-majlis anjuran penduduk kampung.

Kerana itu kata mereka, undi kepada Pas sangat kuat apabila melibatkan penduduk di kampung-kampung.

“Di kawasan kampung, strategi ini sebenarnya sangat berkesan untuk dapat undi orang kampung. Orang-orang Pas sebenarnya dah lama buat benda-benda macam ini. Sebab tu undi Melayu kampung solid dapat kepada Pas/PN. Mereka sangat taksub. PH kena fikir strategi nak lawan bukan sekadar ketawakan mereka,” kata mereka.

Baca juga: ’58 kali pergi kenduri kahwin’ dalam kad laporan MP Pas jadi bahan kritikan netizen