‘Belajarlah menjaga perasaan orang lain’, penyondol pula bagi nasihat kepada isteri?

Oleh KIM SYAZIE

Wanita yang diduga sebagai ‘penyondol’ dalam perkahwinan pelakon, Hafiz Roshdi kembali mencuri perhatian di media sosial baru-baru ini.

Dikenali sebagai Athira Yuhada, wanita berkenaan mula memuat turun beberapa siri ‘story’ di akaun Facebook miliknya.

Pengguna media sosial menduga, hantaran yang berbentuk nasihat itu ditujukan kepada isteri Hafidz, Nurul Shuhada Mat Shukri.

Isi ‘story’ berkenaan bagai memerli tindakan Shuhada yang membuat pendedahan lanjut mengenai insiden pergaduhan di sebuah stesyen televisyen.

Katanya, tiada gunanya seseorang itu beribadah sekiranya pada masa yang sama, mereka menyakiti hati orang lain.

Menurutnya, selagi orang yang disakiti tidak memaafkan kesilapan itu, maka Allah tidak akan menerima ibadah yang diamalkan. 

“Belajarlah menjaga perasaan orang lain, jangan menyakiti. Kerana seberapa banyak kamu sujud pun, jika yang disakiti enggan memaafkan, maka, Allah pun enggan,” katanya.

Dalam perkembangan lanjut, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pelakon lelaki yang berusia 29 tahun itu telahpun ditahan.

Namun begitu, dia telah dibebaskan pada hari yang sama dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan.

“Polis kemungkinan akan memanggil semula mangsa (isteri) untuk diambil keterangan lanjut,” katanya.