Tendang dan ludah pengadil, bekas kapten bola sepak digantung seumur hidup

Oleh KIM SYAZIE

Gara-gara menendang dan meludah seorang pengadil, bekas kapten pasukan kebangsaan Syria, Ahmed Al-Saleh digantung seumur hidup.

Pemain pertahanan kelab Al-Jaish itu mengasari pemain lawan dari Al-Wathba sebelum dilayangkan kad merah kerana membantah pengadil.

Tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut, Al-Saleh kemudian naik angin dan menyepak pengadil berkenaan berkali-kali.

Pemain dari kedua-dua pasukan mencuba sebaik mungkin untuk menghalang dan menenangkan Al-Saleh sebelum keadaan bertambah dingin.

Tidak cukup dengan itu, pemain tersebut bertindak memaki pengadil di dalam bilik persalinan selepas perlawanan berkenaan tamat.

Rentetan daripada kejadian tersebut, Persatuan Bolasepak Syria (SFA) mengenakan hukuman gantung seumur hidup buat pemain Kelab Liga Syria itu.

Jawatankuasa disiplin SFA juga mendenda Al-Saleh dan kelabnya, Al-Jaish kerana kegagalan kelab itu mengawal pemainnya.

Difahamkan, jawatankuasa turut memohon agar pemain berusia 33 tahun itu dipecat daripada Persekutuan Bola Sepak Syria.

Sekiranya dipecat dari organisasi itu, Al-Saleh tidak akan dapat berkhidmat dalam bidang sukan pada masa hadapan termasuk menjadi jurulatih.

Baca juga: Penjaga gol guna khidmat ‘toyol’, berjaya bawa pasukan ke pusingan seterusnya