Tumbuk isteri, mahkamah perintahkan Hafidz Roshdi dihantar ke Hospital Bahagia

Oleh KIM SYAZIE

Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini mengeluarkan perintah supaya pelakon, Hafiz Roshdi dihantar ke Hospital Bahagia.

Perintah tersebut dikeluarkan Hakim Siti Fatimah Talib supaya pelakon yang mencederakan isterinya itu menjalani rawatan psikiatri.

Terdahulu, pemilik nama Muhammad Hafidz Roshdi itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan menumbuk pipi kiri isterinya sebanyak tiga kali hingga luka.

Akibat insiden yang berlaku di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya itu, Nurul Shuhada Mat Shukri mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.

Hafidz didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Pertuduhan itu dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Mempunyai rekod psikiatri, Hafidz diperintahkan untuk menjalani rawatan dan pemeriksaan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan.

“Tertuduh diarahkan tidak mengganggu mangsa, selain pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

“Tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dan tarikh 9 Jun ini bagi sebutan semula kes, selain laporan perubatan mangsa dan laporan penilaian psikiatri tertuduh,” kata hakim.

Baca juga: Beri tempoh 48 jam, ini sebenarnya yang Hafidz Roshdi mahu dari isteri