Kes penyelewengan sukuk cecah RM596 juta, 4 individu ditahan

Oleh KIM SYAZIE

Empat individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan kes penyelewengan membabitkan penjanjian sukuk bernilai RM596 juta.

Penyelewengan tersebut membabitkan pelaksanaan projek berkaitan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Kesemua lelaki yang berusia antara 40 hingga 55 tahun itu ditahan lewat petang semalam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya.

Tiga daripada mereka direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 17 Mac selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman oleh pihak SPRM.

Sementara seorang lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM lapor Harian Metro.

Sumber memaklumkan, kesemua suspek terlibat adalah Pengarah, Ketua Pegawai Kewangan dan seorang pemegang saham bagi tiga syarikat yang terbabit secara langsung.

“Sukuk itu diuruskan oleh sebuah bank tempatan bagi membiayai projek berkaitan dan semua perbelanjaan dan hasil projek berkenaan perlu dimasukkan ke dalam satu akaun khas yang ditetapkan.

“Namun, akaun khas ini kemudiannya ditukarkan kepada akaun lain yang dipercayai sengaja diwujudkan pada awal 2022.

“Ini disyaki bagi mengelakkan daripada pembayaran semula prinsipal dan keuntungan kepada pemegang-pemegang sukuk,” katanya.

Difahamkan, perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat yang dilantik sudah dimeterai pada Julai 2011 dengan tempoh selama 12 tahun, manakala sukuk itu dijangka mencapai tempoh matang pada Mei 2023.

Tindakan membenarkan syarikat terbabit untuk mewujudkan satu akaun lain akan menyebabkan kerugian jutaan ringgit terhadap pemegang sukuk.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut, namun enggan mengulas lanjut.

Baca juga: Menuduh tanpa bukti, MP Pas tarik balik dakwaan kerajaan sokong LGBT