Ahli Parlimen Besut, Che Zulkifly Jusoh diusir keluar dari Dewan Rakyat oleh Timbalan Speaker, Ramli Mohd Nor.
Pemimpin PAS itu juga dihalang dari mengikuti sidang Dewan Rakyat selama tiga hari kerana gagal mendengar arahan.
Telah diberi amaran sebanyak tiga kali, Zulkifly enggan berhenti mencelah dalam pertikaian antara Takiyuddin Hassan dan Ramkarpal Singh.
Sempat membantah tindakan penggantungan itu, Zulkifly akhirnya akur setelah bentara Dewan Rakyat mengiringi beliau keluar.
Terdahulu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS itu mempertikaikan penggunaan bahasa Inggeris dalam Rang Undang-Undang.
Semalam, parlimen Malaysia telah meluluskan Rang Undang-Undang Anti-Stalking yang memperuntukkan amalan itu sebagai jenayah.
Menurut pembangkang, penggunaan perkataan stalking boleh ditukar kepada bahasa Malaysia seperti amalan menghendap atau ‘skodeng’.
Timbalan Speaker kemudian menjelaskan bahawa tiada undang-undang yang menghalang penggunaan bahasa Inggeris dalam perlembagaan.
“Selagi parlimen ini tak pinda Perlembagaan Persekutuan ini, selagi itulah bahasa Inggeris boleh digunakan dalam parlimen.
“Terpulang pada ahli-ahli parlimen. Ia memerlukan dua per tiga untuk pinda perlembagaan ini untuk secara total menggunakan bahasa Melayu.” Jelas Ramli.
Baca juga: Saya sedih sangat anak dipulau hanya sebab tak fasih berbahasa Melayu