Belanja isteri beli iPhone, rupa-rupanya hasil curi kad ATM milik warga emas

Oleh KIM SYAZIE

Satu rakaman memaparkan sepasang suami isteri sedang berbelanja di kedai telefon pintar menjadi perbincangan hangat di media sosial baru-baru ini.

Mengejutkan, pasangan tersebut sebenarnya berjoli sakan dengan menggunakan kad mesin juruwang elektronik (ATM) milik orang lain.

Kejadian itu bermula apabila kad ATM milik seorang warga emas yang tersangkut dan tidak dapat dikeluarkan dari dalam mesin.

Penuh muslihat, lelaki itu kemudian akan berpura-pura cuba membantu sebelum menukar kad mangsa dengan kad berlainan.

Akibat daripada kejadian tersebut, warga emas yang merupakan pesara kerajaan itu mengalami kerugian sebanyak RM46,000.

https://twitter.com/paizmuhdd/status/1640713888248500225?s=46

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh berkata, pihaknya sedang giat memburu pasangan suami isteri itu.

“Seorang individu lelaki yang tidak dikenali kebetulan berada di tempat itu membantu mangsa untuk mengeluarkan kad dan berjaya.

“Mangsa sekali lagi ke bank lain dan cuba mengeluarkan wang tetapi tidak berjaya. Mangsa terus merujuk masalah itu di kaunter bank,” katanya.

Setelah mendapati kad tersebut bukan miliknya, pesara kerajaan itu segera membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Sempat menghafal no pin ketika ‘cuba’ membantu mangsa, suspek berjaya membuat 23 transaksi termasuk pembelian telefon bimbit jenis iPhone 13.

Baca juga: TMJ miliki Bugatti Chiron paling eksklusif di dunia