Baru-baru ini tular satu perkongsian dari seorang pengguna Facebook yang mendakwa terbeli karipap berkulat dari seorang peniaga bazar.
Atas sebab itu, mangsa tampil bersemuka dengan peniaga tersebut di mana hasil pertemuan itu, vendor yang membekalkan kuih di gerai berkenaan mengaku menjual semula karipap yang tidak laku.
Pembeli yang dikenali sebagai Emma Razali berkata, perkara itu diketahui selepas pertemuan yang diadakan bersama dirinya, peniaga, vendor dengan kehadiran pihak Kementerian Kesihatan (KKM) kelmarin.
“Setelah bertentang enam mata antara pihak saya, peniaga bazaar, vendor karipap bersama kehadiran pihak KKM, akhirnya kami telah mengetahui punca karipap kulat tersebut.
“Peniaga bazaar hanyalah sebagai orang tengah yang mengambil sedikit komisyen bagi menjual kuih-kuih dari vendor. Vendor telah mengakui silapnya di mana karipap itu sememangnya karipap hari semalam yang telah dikitar semula untuk dijual,” katanya memetik laporan Kosmo!.
Menurut Emma, kejadian itu berlaku pada hari Khamis, dan karipap yang dijual adalah karipap jualan hari Rabu yang tidak habis.
“Peniaga bazar telah maklumkan vendor bahawa jualan tersebut tidak habis, dan bertanya untuk ambil semula atau tidak.
“Pihak vendor meminta peniaga simpan dalam peti sejuk, tetapi peniaga memberitahu peti sejuknya tidak muat dan bertanya bolehkah karipap diletakkan di luar (suhu bilik),” jelasnya.
Katanya, kerana faktor rumah yang jauh dan peniaga memberitahu sudah lewat malam, vendor bersetuju karipapnya diletakkan di suhu bilik sehingga keesokan harinya.
“Peniaga membawa enam bekas karipap tersebut ke bazar dan vendor sendiri datang ke bazaar melihat keadaan terkini karipap yang tidak habis tersebut.
“Dia meminta peniaga meneruskan penjualan karipap tersebut kerana katanya inti karipap yg dibuat masih baru dan yakin karipap masih dalam keadaan elok,” ujarnya.
Dalam pada itu, Emma memaklumkan ibunya tidak mengalami sakit perut atau mengalami simptom keracunan makanan, bagaimanapun kakaknya terkena cirit-birit dua kali pada pagi Jumaat.
Baca juga: Kecoh hari raya jatuh sehari lebih awal, ini respon Jakim dan Masjid Wilayah buat orang ramai