Demi mencari keberadaan adik bongsunya yang hilang ketika mendaki di Pulau Mawar, Mersing, seorang lelaki membuat satu hantaran di media sosial.
Menggemparkan, pihak keluarga menawarkan ganjaran sebanyak RM50,000 kepada orang ramai sebagai ikhtiar untuk mencarinya.
Menerusi video yang dimuat naik di laman TikTok, pemuda yang bernama Muhamad Akmal Hakimi itu dilaporkan hilang sejak 1 Februari lalu.
Difahamkan, Akmal yang merupakan penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu sering mengikuti aktiviti mendaki seorang diri.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh pihak berkuasa juga telah dihentikan berikutan tiada sebarang petunjuk berjaya ditemukan.
Oleh yang demikian, pihak keluarga sanggup memberi ganjaran kepada mana-mana pihak yang berjaya menemui Akmal.
“Ganjaran RM50,000 jika jumpa adik saya Muhamad Akmal Hakimi Bin Ishak. Untuk makluman lokasi terakhir motor beliau di Pulau Mawar, Mersing, Johor.
“Berpakaian jaket kekuningan, kasut kelabu dan beg sandang hitam berjenama Jeep,” tulis abangnya yang bernama Muhamad Mirza Qusyairi.
Terletak dalam jarak satu jam 41 minit dari rumah, hanya motosikal Akmal berjaya ditemui di lokasi berdekatan Pulau Mawar.
Diharapkan Akmal berjaya ditemukan dan boleh menyambut hari raya Aidilfitri bersama keluarga yang menantinya.
Baca juga: ‘Petik cili’ bukan punca mohon cerai, Diana Danielle dedah apa sebenarnya terjadi