Beberapa siri tangkap layar luahan guru yang menjadi pengawas dan penanda kertas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 tular di media sosial baru-baru ini.
Tidak berpuas hati, golongan pendidik ini malangnya masih belum menerima sebarang bayaran atas khidmat mereka sehingga hari ini.
Luahan pendidik itu mulanya dikongsi menerusi satu hantaran di kumpulan laman Facebook, Kami Guru Malaysia (KGM).
Hantaran itu kemudian berjaya menyita perhatian ramai setelah dimuat naik semula oleh seorang guru, Mohd. Fadli Salleh menerusi akaun Facebooknya.
“Dalam Islam, upah harus dibayar sebelum keringat kering. Sudahlah bayaran tidak setimpal dengan bebanan kerja, tuntutan yang dibuat kena potong.
“Lambat bayar pula. Naya dekat orang. Harap Lembaga Peperiksaan Rasmi (LPM) ambil serius isu ini,” tulis Fadli Salleh.
Tangkap layar itu turut memaparkan aduan guru mengenai kadar bayaran yang terlalu rendah berbanding bebanan kerja.
Bagai buruh percuma atau ‘free labour’, mereka hanya dibayar RM4 untuk kertas yang mempunyai 50 ke 60 helaian muka surat.
Tidak berbaloi, golongan pendidik ini juga memohon agar upah penanda kertas SPM ini dikaji dan diselaraskan semula dengan lebih adil.
Terbaharu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bakal menjelaskan bayaran yang tertunggak lewatnya pada 31 Julai ini.
Bayaran ini melibatkan Tuntutan Ikhtisas (IKH) dan Tuntutan Perjalanan (TNT) bagi petugas serta pemeriksa peperiksaan.