Salah guna bantuan eBelia Rahmah, ada pihak cuba ambil kesempatan raih untung

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pengguna media sosial tampil memberi amaran kepada pelajar yang mahu memindahkan bantuan eBelia Rahmah ke dalam akaun sendiri.

Menggunakan khidmat orang tengah, individu itu khuatir sekiranya pihak yang menawarkan servis tersebut sebenarnya mahu mengambil kesempatan.

Meraih untung yang lumayan, tinjauan di media sosial mendapati pihak-pihak ini mengenakan cas dari RM5 sehingga RM20 setiap seorang.

Sebagai contohnya, pelajar akan memindahkan bantuan kerajaan berupa wang digital sebanyak RM200 kepada akaun bank pihak ketiga.

Mengambil untung sebanyak RM15, pihak ini kemudian akan memindahkan semula wang berjumlah RM185 kepada akaun peribadi pelajar.

Tidak disenangi ramai, ada di kalangan pihak tengah ini bertindak memotong bantuan tersebut tanpa meminta persetujuan pelajar terlebih dahulu.

Diperdaya, individu yang juga seorang pelajar itu berkongsi pengalamannya menerusi satu ciapan yang dimuat naik di laman Twitter miliknya.

“Hati-hati kalau nak pindahkan wang eBelia tu. Orang ini cakap nak tolong. Tapi transfer balik RM185. RM15 itu untuk cas servis.

“Ya Allah. Duit itu aku boleh buat makan untuk sehari. Kalau ada cas, bagitahu terus dekat orang. Bukannya dah transfer baru cakap ada cas.

“Dah besar tahu halal haram. Sendiri fikir. Berkat tak berkat amik duit orang tanpa beritahu lebih awal ada cas,” luah pelajar itu.

Bantuan eBelia Rahmah adalah inisiatif kerajaan khusus buat belia berusia 18 hingga 20 tahun atau pelajar institut pengajian tinggi (IPT).

Meringankan beban membeli keperluan harian dan akademik, pelajar tidak digalakkan mengguna servis pemindahan pihak ketiga.

Baca juga: Cabul 3 wanita di hari yang sama, lelaki OKU rupanya baru keluar hospital ‘Mesra’