“Itu saya tapi…” – Menteri akui terlibat insiden di KLIA, bukan bebaskan pelancong tapi sedang bongkar rasuah

Oleh KIM SYAZIE

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Singmenafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang menuduhnya mahu melepaskan pelancong asing yang ditahan oleh pihak imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

King Sing mengakui gambar tular di media sosial berhubung isu itu adalah dirinya dan beliau mengatakan ada menerima aduan daripada pelancong sebelum ke KLIA bagi memahami situasi pelancong asing itu, selain ia pemantauan biasa bagi seorang menteri untuk turun padang.

“Saya bersyukur kerana kehadiran saya sudah membongkar peristiwa memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa kronik di pintu masuk negara.

“Pada mulanya saya tidak mahu mendedahkan perkara ini kerana sedang bertindak mengikut saluran serta platform yang lebih praktikal.

“Namun disebabkan isu ini tular dan ramai pengamal media menghubungi saya, maka ini penjelasannya,” katanya menerusi kenyataan.

Mengulas lanjut, King Sing berkata, beliau terkejut apabila ada artikel menyatakan beliau memasuki ruang ketibaan tanpa memohon pas sedangkan beliau memiliki pas sah untuk memasuki kawasan itu.

Menurutnya, pelancong asing itu ditahan tanpa diberikan alasan atau sebab dia ditahan dan masalah timbul apabila kedua-dua iaitu pihak pegawai imigresen dan pelancong terbabit mempunyai masalah komunikasi.

Katanya, dimaklumkan bahawa pelancong itu sudah lengkap segala dokumentasi, namun kegagalan komunikasi kedua-dua pihak menggagalkan pihak imigresen mendapatkan dokumen diperlukan dari pihaknya.

Beliau turut diberitahu bahawa ada pegawai imigresen yang meminta wang diberikan sekiranya pelancong asing yang ditahan mahu dilepaskan.

“Ada yang minta sehingga RM3,000 untuk dikeluarkan dari tahanan termasuk tiket penerbangan pulang ke negara asal.

“Tambahan RM3,000 pula diminta jika mahu pulang ke negara asal dengan kadar segera menerusi ‘laluan khas’, manakala RM12,000 untuk kos memproses visa.

“Semua maklumat ini akan diserahkan kepada SPRM supaya siasatan dapat dijalankan seterusnya dapat memulihkan imej Malaysia terutamanya di pintu masuk negara,” katanya.

Dalam lawatan ke KLIA itu, beliau turut membawa pegawai siasatan dari unit integriti di bawah Motac.

“Saya merasakan sudah tiba masanya pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masuk ke KLIA secara besar-besaran untuk menyiasat apa yang berlaku di pintu masuk utama negara ini.

Baca juga: Hiba digelar biawak hidup, rupanya ini punca Azhar Sulaiman aktif di Tik Tok