Hujan lebat yang berterusan tidak mematahkan semangat penduduk di kampung ini untuk melaksanakan ibadah korban dalam keadaan banjir.
Sebaliknya, suasana menjadi bertambah meriah ketika mereka bekerjasama menarik dan menambat haiwan korban itu di dalam air bah.
Malah, hampir 1,000 penduduk hadir sebagai saksi walaupun terpaksa meredah banjir dan hujan yang tidak berhenti sejak pukul 6 pagi semalam.
Ujian Aidiladha, kejadian itu dialami oleh penduduk kampung di kawasan Teluk Kumbar dan Teluk Bahang yang terletak di Georgetown, Pulau Pinang.
Antara kejiranan yang terjejas ialah Kampung Nelayan, Kampung Paya dan Kampung Sulup di Teluk Kumbar serta Teluk Bahang dan kawasan pusat bandar.
Pertama kali berlaku, Pengerusi Surau Kampung Nelayan, Salim Omar menyifatkan kejadian tersebut sebagai satu sejarah, lapor Kosmo!.
“Kami terpaksa meneruskan program dan menumbangkan enam ekor lembu serta seekor kambing dengan bantuan pemuda dan kariah kampung.
“Hampir 1,000 penduduk hadir ke majlis itu meskipun masing-masing terpaksa meredah banjir dan hujan.
“Suasana jadi meriah kerana lembu-lembu ditarik dan ditambat dalam banjir,” kongsi Salim yang turut berkhidmat sebagai ketua kampung.
Difahamkan, fenomena itu pertama kali berlaku setelah pembinaan Rumah Pam Projek Tebatan Banjir (RTB) Teluk Kumbar siap dua tahun lalu.