Tular baru-baru mengenai jurugambar wanita yang berkongsi kisah dirinya dihendap selama lapan tahun oleh seorang lelaki.
Wanita yang dikenali sebagai Acacia Diana sempat memuat naik segala mesej yang dihantar oleh lelaki tersebut malah laporan polis juga telah dibuat.
Terbaru, media melaporkan bahawa lelaki tersebut dikesan berada dalam rawatan di bawah Jabatan Neurologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Orang Yang Disyaki (OYDS) berusia 37 tahun dan berasal dari Shah Alam itu, dihantar sendiri oleh keluarganya bagi mendapatkan rawatan di HKL pada 17 Julai lalu lapor Berita Harian.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata laporan polis sudah dibuat sejak 2018 oleh jurugambar wanita yang menerima gangguan seksual secara dalam talian.
“Polis menerima laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) pada Khamis lalu, berhubung kes pemilik akaun Instagram yang sering mengganggu pengadu seperti yang tular di media sosial ketika ini.
“Dia sering mengguna akaun Instagram dan Twitter untuk berhubung dengan mangsa dan memberi komen-komen cinta dan menghantar pesanan berbentuk lucah sehingga menyebabkan ketidakselesaan pengadu,” katanya seperti dipetik BH.
Tambahnya, berdasarkan maklumkan, polis mengambil tindakan membuat permohonan kepada SKMM untuk menyekat semua akaun media sosial milik suspek.
“Siasatan kes ini tetap berjalan meskipun ia dilaporkan sejak tahun 2018 dan pihak polis sedang melengkapkan siasatan termasuk mengumpulkan bukti-bukti kukuh untuk tindakan selanjutnya.
“Polis akan mendapatkan laporan penuh perubatan daripada pihak hospital dan kertas siasatan akan dilengkapkan untuk dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri bagi mendapatkan nasihat dan arahan lanjut,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa juga bahan di mana-mana platform bagi mengelakkan sebarang spekulasi sehingga boleh menjejaskan siasatan polis.
Baca juga: Baru tahu Kastam ada tawar ganjaran lumayan, asalkan sedia kongsi maklumat ini