Betul ke sijil kelahiran lama yang kita simpan itu sudah tidak sah?

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pengguna Facebook telah berjaya mencuri perhatian setelah membuat satu dakwaan mengenai kesahan sijil kelahiran lama.

Individu berkenaan mendakwa ahli keluarganya berhadapan masalah ketika menggunakan sijil tersebut untuk berurusan dengan dua agensi kerajaan.

Kononnya tidak sah digunakan untuk urusan rasmi, keluarga wanita berkenaan juga diminta untuk menukar dan membuat sijil kelahiran versi yang terbaharu.

Menurut wanita tersebut, kejadian itu berlaku di kaunter Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Ini sijil kelahiran abang saya. Rupanya sijil kelahiran yang lama sudah tidak sah (valid). Perlu tukar yang baru, saiz terkini lebih besar.

“Nasihat kak Ros, sebaiknya tukarlah yang baru untuk mudahkan urusan waris. Sekiranya pemilik belum meninggal, boleh pergi JPN (Jabatan Pendaftaran Negara).

“Atau wakilkan sesiapa dengan membawa dokumen yang sama iaitu kad pengenalan asli dan salinan,” jelas wanita tersebut menerusi Facebooknya.

Menurut wanita tersebut, pemohon hanya akan dikenakan cas sebanyak RM5 untuk urusan mencetak sijil kelahiran baharu di kaunter JPN.

Bayaran bagaimanapun perlu dibuat menggunakan kad debit, kad kredit atau e-wallet kerana kaunter tersebut mengamalkan sistem tanpa tunai (cashless).

Terbaharu, JPN baru-baru ini telah tampil menjawab spekulasi dengan menafikan dakwaan bahawa sijil kelahiran lama sudah tidak sah digunakan.

Jurucakap JPN memaklumkan, kejadian berkemungkinan berlaku kerana dokumen yang digunakan individu berkenaan sudah rosak.

Oleh yang demikian, individu tersebut diarahkan untuk mendapatkan salinan baharu dokumen tersebut supaya maklumat dapat dibaca dengan lebih jelas.

Sah digunakan selagi tidak rosak, JPN tidak pernah menetapkan sebarang had tempoh kesahihan penggunaan sijil kelahiran dari tarikh ia dikeluarkan.

Dalam pada itu, agensi kerajaan yang terlibat iaitu Perkeso juga sempat menyangkal dakwaan yang ditularkan wanita terbabit di platform media sosial.

“Perkeso tidak mempunyai polisi seperti yang disebutkan (tidak terima sijil kelahiran lama untuk sebarang urusan).” Ulasnya.

Baca juga: Malaysia ada patung ke-16 tertinggi di dunia, warganet terkejut, rupanya dekat Kelantan