Siapa yang boleh melupakan watak Buntat dibawa remaja ini dalam drama rantaian popular, 7 Hari Mencintaiku.
Watak kanak-kanak lembam dalam drama yang disiarkan di TV3, kira-kira tujuh tahun lalu, pantas mencuri perhatian dan bualan hangat dalam media sosial.
Namun selepas drama itu tamat, kelibat Buntat atau Muhammad Ariff Abdullah tidak lagi kelihatan di kaca televisyen.
Terbaru, Muhammad Ariff dilaporkan sedang aktif menolong bapanya berniaga roti canai di Jitra, Kedah.
Ia selepas pengguna @syakirasaid_ di TikTok, memuat naik satu rakaman video yang memaparkan Muhammad Ariff, setelah sekian lama tidak muncul di kaca televisyen.
Dalam video tersebut Muhammad Ariff dilihat sedang membersihkan meja makan dengan mengemas tempat tersebut.
Menurut pemilik video itu, dia ternampak kelibat anak kelahiran Kedah itu semasa singgah sarapan di kedainya.
Katanya, ramai yang singgah ke kedai Muhammad Ariff sewaktu dia pergi ke kedai tersebut.
Muhammad Ariff yang merupakan kanak-kanak kini telah bertukar menjadi remaja, mengejutkan orang ramai kerana tidak sangka dia membesar dengan begitu cepat.
“Patutlah ramai yang makan dekat sini. Besar dah dia. Dulu kecil je tengok dekat televisyen,” katanya.
Tidak lama selepas itu, Muhammad Ariff pergi ke meja pemilik video susulan dipanggil oleh keluarganya.
Muhammad Ariff kemudiannya menyantuni pelanggan yang datang dengan mengambil gambar bersama mereka sebelum menyambung kerjanya.
Biarpun sudah lama tidak muncul di televsiyen namun ramai yang masih mengingati dirinya.
Sesetengah mereka juga mengambil peluang untuk berjumpa dengannya di kedai makan bapanya yang terletak di medan selera Jitra.
Baca juga: Hanya kerana luah isu bekalan air, orang Kelantan nak boikot Syahmi Syazli dan isteri?