11 tahun tak kerja, lelaki pilih jadi suri rumah besarkan anak – “Isteri sibuk urus 2 bisnes”

Oleh WAN SITI AMINAH

Fenomena lelaki bergelar suami yang memilih untuk menjadi suri rumah menguruskan anak berbanding keluar mencari rezeki semakin mendapat tempat di negara ini.

Seperti yang kita tahu, punca pendapatan isteri yang lebih tinggi dan lumayan berbanding suami adalah antara faktor penyumbang utama kepada fenomena ini.

Berikut kami kongsikan pengalaman seorang suami dikenali sebagai Vince yang memilih untuk menjadi suri rumah selepas berhenti kerja pada tahun 2012 lalu.

“Ketika saya berhenti kerja, isteri memiliki dua pekerjaan dan dua jenis perniagaan kecil-kecilan. Dia sememangnya wanita yang sangat berkebolehan dan kuat bekerja.

“Malah, dia juga yang menanggung segala keperluan kami. Saya dan isteri membuat keputusan ini bersama-sama (berhenti kerja). Ia mungkin tak menjadikan kami kaya.

“Tetapi, saya mahu anak-anak mengenali diri saya. Saya mahu melihat anak-anak membesar di depan mata setiap hari, bukan sekadar pada hujung minggu,” katanya.

Setelah merasai sendiri pengalaman menjadi suri rumah, Vince yang berasal dari Singapura itu berpendapat bahawa lelaki tidak sepatutnya memandang rendah kepada wanita.

Menurut Vince, kepenatan sang suami di tempat kerja langsung tidak boleh dibandingkan dengan kelelahan yang harus dilalui oleh suri rumah setiap hari.

Vince turut menyediakan cabaran yang perlu dilaluinya setiap hari selama 11 tahun bertugas suri rumah atau ‘house-husband’.

  1. Perlu menyediakan sarapan di awal pagi dalam keadaan mengantuk kerana anak-anak sudah mula bangun pada waktu Subuh.
  2. Anak bongsu yang masih kecil dengan sengaja menumpahkan susunya di atas meja yang sudah bersih.
  3. Membuat kerja-kerja sekolah anak secara ekspress kerana mereka ‘lupa’ memberitahunya pada malam semalam.
  4. Menghadapi karenah dan kenakalan anak kecil selepas anak-anak yang sudah membesar pergi ke sekolah.
  5. Tertekan dan dihantui rasa bersalah kerana sudah memarahi serta menengking anak-anak kecil.
  6. Teruja namun penuh kerisauan apabila anak-anak berlari untuk menyeberang jalan ketika anda menjemput mereka dari sekolah.
  7. Menahan segala ‘tumbukan’ dan ‘gigitan’ daripada anak-anak.
  8. Menyiapkan kerja rumah (mengemas, memasak, dan mencuci) sambil membuat persediaan makan petang dan malam.
  9. Menguruskan belajawan rumah tangga.
  10. Mandikan anak-anak dan membersihkan najis mereka.

Tambah Vince, sikap saling memahami antara suami dan isteri adalah penting bagi menghadapi situasi tersebut kerana kedua-duanya saling memerlukan.

Namun begitu, para suami perlu diingatkan bahawa hukum mereka untuk menjadi suri rumah dari sisi agama adalah tidak digalakkan jika ia tidak diredai oleh isteri.

Memetik kenyataan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, jika isteri reda, maka ia dibenarkan seperti mana diharuskan untuk suami memakan mahar isteri sekiranya dibenarkan.

Baca juga: “Anak aku sakit sampai masuk hospital tapi suami tak pernah jenguk, rupa-rupanya sibuk bermaksiat dengan adik aku sendiri…”