Berlanggar dengan Syahmi Safari, pemain China pengsan, hilang tujuh batang gigi

Oleh WAN SITI AMINAH

Tujuh batang gigi milik pemain pertahanan China, Li Shuai terpaksa dicabut selepas berlanggar dengan pemain Harimau Malaya, Syahmi Safari.

Pertembungan di udara antara dua pemain bola sepak berkenaan berlaku pada aksi persahabatan antarabangsa yang diadakan di Stadium Pheonix Hill, Chengdu, China.

Dalam perlawanan yang dianjurkan pada Sabtu lalu itu, kepala Shuai berlaga dengan Syahmi ketika mahu menanduk bola lima minit sebelum wisel penamat dibunyikan.

Terkulai layu di padang bola selepas pertembungan itu berlaku, Shuai kemudian tidak sedarkan diri sebelum segera dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.

Memetik laporan China Sports Vision 2050, pemeriksaan susulan yang dijalankan pakar perubatan mendapati tulang belakang Shuai tidak terjejas akibat kejadian itu.

Namun susulan pertembungan tersebut, doktor dilaporkan terpaksa mencabut tujuh batang gigi milik pemain yang berusia 28 tahun itu.

“Pemain skuad Shanghai Port, Li Shuai dikejarkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas bertembung dengan pihak lawan dari Malaysia pada Sabtu lalu. 

“Nasib baik tulang belakangnya tidak cedera. Bagaimanapun, tujuh giginya terpaksa dicabut kerana pertembungan itu,” ciap pemilik akaun China Sports Vision 2050.

Li Shuai kini dilaporkan berada di dalam keadaan stabil dan pastinya berita tersebut disambut baik oleh pengendali skuad kebangsaan China, Aleksandar Jankovic.

Pada perlawanan itu, pasukan Harimau Malaya yang dikendalikan oleh Kim Pan Gon berjaya mendahului tuan rumah pada minit ke-11 apabila Faisal Halim meledak gol.

Namun pemain dari Negara Tembok Besar itu menyamakan semula kedudukan menerusi rembatan Lin Liangming yang berjaya membolosi gawang Malaysia pada minit ke-36.

Walaupun kedua-dua pasukan tidak mengalah dan saling melancarkan serangan ke kubu lawan, pertempuran penuh sensasi itu hanya berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Keputusan terbabit menyaksikan Malaysia mengulangi pencapaian dalam perlawanan persahabatan yang diadakan pada 14 tahun lalu di mana pemain berjaya mengikat China 0-0.

Baca juga: Nak simpan duit untuk masa depan anak? Ini adalah 5 jenis simpanan khas buat ibu bapa