Satu rakaman siaran langsung memaparkan bekas anggota In-Team, Allahyarham Suhaimi Saad kembali tular di laman TikTok, baru-baru ini.
Menerusi video tersebut, penyanyi nasyid yang meninggal dunia pada 15 November lalu itu mengenang semula detik perkenalannya dengan isteri, Nordiana Mohd Naim.
Dedah Suhaimi, dirinya mula jatuh hati apabila Nordiana atau Ina yang ketika itu masih bergelar penyanyi mengubah cara berpakaian dengan lebih menutup aurat.
Menurutnya, anak gadis kelahiran Johor itu mula memakai stokin, melabuhkan baju dan tudung selain tidak lagi mengenakan seluar jeans apabila keluar dari rumah.
Berhasrat untuk menyunting Ina menjadi isterinya yang sah, Suhaimi Saad membuat keputusan pulang ke kampung dan memberitahu keluarganya mengenai niatnya itu.
Belum sempat membuka mulut, alangkah terkejutnya lelaki itu ketika bapanya pula mencadangannya untuk berkenalan dengan bekas tunang Mawi AF iaitu Ina Naim.
“SS (Suhaimi Saad) balik cuti sekolah. SS cakap, ayah jom kita pergi Johor. Arwah ayah SS kata, nak pergi Johor buat apa? Mana ada saudara mara dekat Johor?
“SS jawab Ayah, kita nak pergi buat saudaralah ini. Saya nak ajak pergi rumah dialah (Ina Naim),” kata pemilik nama sebenar Mohd Suhaimi Saad itu.
Arwah bapa kepada bekas artis di bawah naungan Hijjaz Records itu begitu teruja dengan khabar tersebut sehingga mengeluarkan wang sendiri untuk membeli cincin.
Malah, bapa Suhaimi turut mencadangkan agar anak lelakinya itu melupakan niat untuk merisik sebaliknya terus menjalinkan pertunangan dengan gadis berkenaan.
“Ayah SS cakap kita tak payah melamar, dia (Ina) sudah putus tunang. Kita pergi pinang, menikah terus.” Ulasnya yang sempat berseloroh bahawa bapanya gelojoh.
Namun begitu, hasrat Suhaimi untuk memperisterikan Ina Naim mulanya mendapat tentangan daripada kakak-kakaknya yang memintanya menjauhi gadis berkenaan.
Hal ini kerana, kakak kepada Suhaimi lebih meminati dan menyebelahi bekas tunang Ina iaitu Mawi yang ketika itu merupakan seorang penyanyi rancangan realiti popular.
Baca juga: Afifah Nasir mahu jejaka tampan, pandai bahasa Inggeris dan tinggi ilmu agama jadi calon suami