“Takut hamil walaupun dah kahwin 7 tahun, suami tak tahu aku sebenarnya ketagih..”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak mampu berlaku jujur dengan sang suami mengenai satu episod gelap di dalam hidupnya walaupun telah berumah tangga selama tujuh tahun.

Lebih memburukkan keadaan, kenangan buruk itu memberi kesan begitu mendalam sehingga menjejaskan perkahwinannya ekoran perasaan takutnya untuk bergelar ibu.

Wanita berkenaan juga mengakui bahawa kejadian itu bukan sahaja meninggalkan trauma, malah menyebabkan dirinya melakukan perkara yang dilarang agama Islam.

Enggan terus bergelumang dengan dosa, berikut kami kongsikan luahan hati seorang wanita yang semakin hilang arah dalam membina masa depannya bersama suami.

“Tidak lama lagi, genaplah tujuh tahun perkahwinan aku dengan suami. Tetapi, kami masih belum dikurniakan anak. Kalau orang lain, mesti sudah teruja atau tak sabar apabila hadir malaikat kecil di rahim sendiri. Tetapi aku pula berbeza. Aku sangat takut untuk hamil dari sebelum kahwin lagi.

“Mungkin, kerana memori zaman kanak-kanak dan dicampur dengan bahan bacaan yang mudah didapati sekarang ini. Zaman kanak-kanak aku nampak sama macam orang lain. Tetapi ada memori yang tak dapat dilupakan sehingga aku menyimpan dendam di dalam hati walaupun orang itu sudah tiada di dunia ini.

“Aku pernah dicabul beberapa kali masa zaman kanak-kanak. Sampaikan, aku jadi seseorang yang ketagih pada rasa itu. Tak tahu nak terangkan macam mana. Walaupun kadang-kadang aku rasa berdosa dengan diri sendiri, tetapi masa sama aku tak dapat elak perasaan itu. Aku selalu rasa marah kepada pencabul tua itu.

“Akibat dicabul beberapa kali, aku tiba-tiba rasa seronok dan mula melakukan onani dari kecil sehinggalah meningkat dewasa. Walaupun sudah berkahwin, aku belum dapat buang tabiat itu. Aku dah cuba hentikan, tetapi selalu tak bertahan lama. Meskipun berkurangan, tetapi masih susah nak hentikan 100 peratus.

“Disebabkan perkara kotor ini, aku jadi takut untuk ada anak. Takut nanti anak jadi lebih teruk daripada aku. Ditambah sekarang ini kita sudah dekat dengan dunia akhir zaman yang ada bermacam-macam dugaan dalam membesarkan anak. Aku takut tak mampu didik anak jadi seorang yang taat perintah Allah.

“Kerana, aku sendiri tak mampu didik diri untuk jauh daripada perkara kotor. Banyak kejadian cabul yang aku baca di media sosial. Malah anak luar nikah pun sudah jadi seperti satu budaya dalam masyarakat kita. Semua bacaan itu buat aku makin takut nak ada anak. Aku sekarang tinggal sekali dengan adik ipar.

“Adik ipar ada anak perempuan seorang. Dia hantar ke rumah pengasuh kerana perlu bekerja. Akhirnya zuriat dia dinodai oleh anak pengasuh. Tetapi malangnya polis tak boleh teruskan dakwaan sebab tak cukup sampel dan bukti. Anak itu belum sekolah pun lagi dan pelaku pula masih bersekolah menengah. 

“Semua kejadian ini buat aku trauma untuk ada anak. Aku juga takut dengan dosa sendiri yang tak mampu ditanggung dekat akhirat nanti. Tambah kalau ada anak nak kena bertanggungjawab dengan amanah anak itu lagi. Aku tak sanggup dan sangat takut. Aku tak tahu perasaan aku ini normal atau tak.

“Tetapi ini yang aku rasa. Takut nak ada anak, takut nak memikul tanggungjawab di akhirat nanti dengan dosa aku yang menimbun. Takut bila ada anak, aku tak mampu nak pikul amanah untuk jaga dan didik dia. Sampai satu saat, kalau lambat datang bulan aku akan susah hati. Perasaan takut itu aku tak boleh nak bayangkan.

“Tak normalkah aku sebagai manusia? Sebagai seorang perempuan? Berdosakah aku apabila ada perasaan macam ini walaupun tak pernah diminta.” Soal wanita yang menggelarkan dirinya Pendosa menerusi satu hantaran di laman luahan atas talian.

Baca juga: Hati-hati guna resepi rahsia bancuhan kopi ini, juling biji mata lepas pekena segelas