“Semoga saya peroleh Hidayah”, rupanya ini faktor Kenji Sawahi dalami Islam 7 tahun lalu

Oleh WAN SITI AMINAH

Sikap masyarakat Melayu yang hormat-menghormati tanpa mengira bangsa telah menjadi faktor utama mendorong pelakon, Kenji Sawahi mendalami agama Islam.

Malah, pemilik nama sebenar Lim Boon Wah itu mengakui bahawa hasratnya untuk belajar mendalami Islam adalah dengan kerelaan hati, bukan dipengaruhi orang lain.

Mengharapkan hidayah Allah, pelakon filem Maria Mariana itu mendedahkan, dirinya mula mendalami Islam tujuh tahun lalu bersama rakan baiknya yang bergelar ustaz.

Kenji juga percaya bahawa ahli keluarga tidak akan menghalangnya untuk memeluk agama berkenaan sekiranya sudah terbuka hati suatu hari nanti, lapor Harian Metro.

“Saya sudah belajar mendalami Islam sejak tujuh tahun lalu. Apa dilakukan ini adalah dengan kerelaan hati saya. Sekiranya masuk Islam suatu hari nanti, saya percaya tiada halangan daripada keluarga.

“Mereka faham ini hak saya nak memilih agama apa sebagai pegangan kekal,” kata pelakon yang dibesarkan di utara Malaysia, Perlis itu memetik laporan Harian Metro.

Kenji juga sudah terbiasa dengan Islam kerana dibesarkan di perkampungan Melayu oleh datuk dan nenek ekoran ibu bapanya membuat persembahan di seluruh negara.

Ibu bapa Kenji adalah pelakon opera Cina manakala keluarganya membuka kedai runcit di kampung itu dan mereka merupakan satu-satunya masyarakat Cina di situ.

“Tiada masalah untuk orang Cina seperti saya datang dan masuk ke masjid kerana diundang sendiri oleh imam. Datuk dan nenek saya juga amat menghormati agama Islam.

“Apabila di luar dan dalam rumah, kami tidak dibenarkan bawa masuk serta makan daging khinzir. Sebabnya, datuk dan nenek tidak mahu ada kekotoran dan rasa kurang selesa orang Melayu untuk datang ke kedai kami.

“Dari situ, saya sebenarnya sudah terbiasa dengan Islam dan sifat ingin tahu untuk mendalami agama ini berterusan sampai sekarang dan semoga harapnya ada rezeki untuk saya memperoleh hidayah daripada Tuhan,” akuinya.

Masih tampak bertenaga di usia 61 tahun, Kenji bersyukur Tuhan masih memberikan kesihatan dan rezeki tidak putus dalam lakonan meskipun kini berstatus warga emas.

Pelakon yang selesa hidup membujang itu juga masih bebas daripada penyakit tiga serangkai merbahaya iaitu kencing manis, darah tinggi dan juga lemah jantung.

“Pada usia yang sudah ’emas’ ini, saya memang menjaga pemakanan harian serta bersenam untuk kesihatan. Lagi pun, saya tidak suka orang panggil lelaki yang sudah berumur macam saya ini warga emas.

“Sebabnya, sebab saya masih kuat, sihat, bertenaga, aktif dan boleh bekerja.” Jelas pelakon veteran yang sudah empat dekad bergiat aktif di dalam karier seni tanah air.

Baca juga: Sajat wakili Malaysia bertanding ratu cantik mak nyah, peraga busana ala-ala ‘Langkasuka’ Kedah