Suami kepada penyanyi terkenal, Adira Suhaimi iaitu Datuk Red kini dibanjiri dengan tawaran pekerjaan susulan mendedahkan keadaan dirinya yang diisytihar muflis.
Malah akaun media sosial TikTok miliknya kini juga dihiasi dengan perkongsian video berbentuk promosi yang tentunya mendatangkan hasil serta pendapatan lumayan.
Kesungguhan untuk berubah yang ditampilkan oleh pemilik nama sebenar Datuk Seri Adnan itu turut mengundang pelbagai reaksi dari pelbagai pihak termasuklah Adira.
Menerusi satu sesi siaran langsung di TikTok, Adira yang juga merupakan isteri kedua Datuk Red itu tampil memberikan kata-kata semangat ditujukan untuk suaminya.
Turut menyatakan sokongan penuh terhadap usaha yang dilakukan suami, Adira juga meminta orang ramai tidak mengecam sehingga melemahkan semangat Datuk Red.
“Jujur, dia (Datuk Red) berani dan mahu berubah. Selagi dia mahu berusaha, jangan kita ‘down’ kan (lemahkan semangat) dia. Kita berikan dia semangat.
“Orang mahu berusaha, jadi kita sokonglah dia. Dari dulu lagi saya menyokong dia. Kamu (peminat) semua jangan risau,” kata Adira di dalam siaran langsung tersebut.
Sesi tersebut sempat dirakam oleh pengguna TikTok sebelum dimuat naik semula di platform yang sama dan berjaya mendapat tontonan dari ratusan ribu pengguna.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna memuji sikap Adira yang positif dan mendoakan agar rumah tangganya bersama Datuk Red dapat diselamatkan.
Terdahulu, Adira telah memfailkan penceraian ke atas suami pada 25 Oktober tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat Rawang, Selangor kerana tiada persefahaman.
Adira sebelum ini pernah memfailkan penceraian pada tahun 2019 yang lalu namun membuat keputusan menarik semula permohonan tersebut demi anak-anak mereka.
Pasangan yang menikah di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 itu dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4 dan Ayob yang kini berusia setahun.
Sekadar info, isteri pertama Datuk Red iaitu Datin Seri Sharifah Norshafila yang dikenali ramai dengan gelaran Datin Red turut memfailkan penceraian pada Januari lalu.
Baca juga: Terdiam terus Cik B bila Datuk Seri Vida ‘call’ minta bayarkan baju dan bag tangan RM90K