Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata bahawa tiada Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) kepada penjawat awam di tahun ini.
Kenyataan tersebut telah mengejutkan banyak pihak terutamanya penjawat awam yang menyimpan harapan tinggi untuk berbelanja lebih bagi menyambut Hari Raya.
Namun jelas Anwar, bantuan BKKA tidak diberi kerana kerajaan telah menyerahkan insentif awal kajian sistem saraan perkhidmatan awam bernilai RM2,000 sebelum ini.
Insentif khusus untuk penjawat awam gred 56 dan ke bawah yang diserahkan pada 28 Februari lalu itu bertujuan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri, lapor Kosmo.
“Kita baru luluskan RM2,000 dan (jumlah) ini lebih dari tahun sudah (lalu) dan akan datang skim persaraan naikkan gaji. Jadi kita kena lihat dari konteks itulah,” kata Anwar memetik laporan Kosmo.
Anwar turut memaklumkan bahawa kenaikan gaji untuk skim persaraan yang bakal diumumkan kelak merupakan berita terlalu baik untuk penjawat awam bagi tahun ini.
Sebelum ini, Dr Zaliha Mustafa selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) memberitahu, struktur gaji baharu penjawat awam bakal dimuktamadkan tidak lama lagi.
Dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri selewat-lewatnya awal suku kedua tahun ini, struktur gaji itu turut akan diumum dalam pembentangan Belanjawan 2025.
Terdahulu, pihak Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa agar bantuan khas diberikan kepada penjawat dan pesara kerajaan sempena Aidilfitri.
Presiden Cuepacs iaitu Datuk Dr Adnan Mat juga dilaporkan merayu supaya kerajaan mengekalkan tradisi bantuan khas perayaan yang dilakukan sejak 10 tahun lalu itu.
Baca juga: Buat pertama kali dalam sejarah, Arab Saudi hantar calon sertai ratu cantik Miss Universe