“Suami janji nak upahkan aku tukang urut, lepas seminggu bersalin baru tahu dia rupanya..”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita yang sedang berada di dalam tempoh berpantang merasa sangat kecewa apabila insan bernama suami gagal mengotakan janjinya.

Mengakui kesilapannya kerana meletakkan harapan kepada manusia, wanita yang dikenali sebagai Dahlia itu sudah banyak berkorban di sepanjang kehamilannya.

Merasakan pengorbanan dilakukan ini hanyalah sia-sia, berikut perkongsian Dahlia yang masih mahu menjaga perasaan suami meskipun hatinya sendiri tercarik luka.

“Salam semua, aku cuma mahu luahkan kekecewaan sahaja. Sekarang aku tengah nangis, tidak berhenti terlalu kecewa selepas menyimpan harapan yang tinggi. Itulah orang cakap, jangan bergantung harap dekat orang sangat. Akhirnya nanti kita yang kecewa. Perkara berlaku semasa aku hamil anak ketiga.

“Sebenarnya kami sudah merancang betul-betul sebab ada masalah kewangan. Aku sangat paranoid jadi makan pil dengan penuh disiplin. Siap kira hari tetapi hamil juga. Sejujurnya aku sangat takut. Lebih kurang empat bulan macam itu baru tergerak nak periksa sebab rasa badan semacam. 

“Hancur rancangan aku nak cari kerja baharu. Kononnya nak tolong suami stabilkan kewangan keluarga. Apabila suami tahu aku mengandung, dia gembira. Katanya ada rezekinya nanti. Dia juga janji akan lebih berusaha bagi pastikan aku dan kandungan selesa sewaktu hamil, bersalin dan berpantang nanti.

“Aku cakap isteri dia ini tiada kemahuan banyak, cuma nak tukang urut sahaja untuk berpantang. Sebab anak-anak sebelum ini aku tak berurut, nak juga merasa. Suami setuju dan berjanji akan berusaha. Apa yang aku mengidam, dia akan cuba penuhi. Kadang-kadang aku diamkan sahaja sebab tak nak susahkan dia.

“Benda yang aku mengidam itu luar dari kemampuan dia (contoh nak makan Sukiya). Tetapi aku tahan sahaja. Menangis sendiri, selepas itu cuba untuk melupakan. Orang cakap mengada kan. Cubalah mengandung dan rasa sendiri mengidam itu macam mana. Tetapi demi tak mahu susahkan suami, aku cuba lupakan.

“Barang bayi aku banyak kutip sampel lampin pakai buang percuma. Baju orang bagi yang  terpakai. Baju anak-anak yang masih elok diguna semula. Suami hanya keluar modal untuk benda kecil-kecil sahaja. Dalam kepala aku hanya fikir tak mahu suami susah sebab upah tukang urut bukannya murah.

“Tibalah masa untuk aku bersalin. Sebab tak mahu susahkan suami, aku bersalin di hospital kerajaan sahaja. Bersalin normal dan anak semua OK. Alhamdulillah, amat mudah. Selesai semua urusan, kami balik kampung untuk berpantang. Aku sampai rumah dan berehat untuk beberapa hari. 

“Menunggu juga manalah tukang urut yang suami cari itu. Seminggu lepas sampai kampung barulah aku buka mulut bertanya bila tukang urut nak sampai. Suami aku cakap, ‘saya minta maaf tak mampu nak cari tukang urut’.  Cuba bayangkan betapa kecewanya aku. Aku tahan sahaja depan suami. Aku masuk bilik air dan menangis semahu-mahunya. Masih lagi fikir tak nak susahkan hati dia.

“Aku tak mahu menangis depan dia. Tetapi sangat kecewa sebab aku sudah usaha untuk kurangkan beli barang anak. Dia ada lebih kurang empat ke lima bulan untuk ketepikan duit upah tukang urut. Tetapi itu lah, bila sudah balik berpantang seminggu lebih di rumah barulah tahu yang dia tak cari pun.

“Maaf, aku tak boleh nak tahan sebab terlalu kecewa. Mungkin benda ini kecil di mata orang lain. Tetapi aku sudah usaha berkorban namun suami balas macam ini. Kesal ini mungkin sementara. Tetapi aku cuba mahu meluahkan rasa kecewa. Terima kasih yang sudi baca dari Bunga yang kecewa.” Tulis Dahlia (Bukan nama sebenar).

Baca juga: “Suami tak habis romantikkan hidup susah, aku simpan duit sendiri nak beranak swasta pun dia marah”