Berhenti jadikan isu stokin modal politik, Nik Nazmi minta Dr Akmal hayati titah Agong

Oleh MAISARAH AISYA

Isu sensitif melibatkan agama tidak perlu dijadikan modal politik, seharusnya semua lebih peka agar tidak menjurus kepada kemudaratan.

Tindakan sesetengah ahli politik yang menjadikan isu stokin dengan ‘kalimah Allah’ telah menyebar kebencian hingga menyebabkan huru-hara dalam negara.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad meminta Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berhenti jadikan isu tersebut sebagai modal politik.

Menerusi Facebook, Nik Nazmi meminta Dr Muhamad Akmal menghayati titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Ini kerana tindakan agresifnya itu telah mengundang sikap ekstemis sesetengah individu sehingga berlaku insiden bom petrol dibaling ke dalam premis berkenaan.

“Ya, tindakan KK Mart telah menggores hati umat Islam, mereka telah melakukan permohonan maaf secara rasmi dan menjelaskan apa yang berlaku.

“Dalam masa sama, Pengasas KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan bersama isterinya Loh Siew Mui telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

“Sultan Ibrahim bertitah bahawa semua pihak perlu berhenti mengambil kesempatan ke atas isu stoking tertera kalimah ‘ALLAH’ kerana perkara tersebut sudah dalam proses perundangan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Pada masa Nik Nazmi menasihati Akmal mencari isu yang menguntungkan rakyat dan bukan sekadar isu viral.

“Nasihat saya kepada Akmal selaku mantan Ketua Pemuda Parti, keinginan memperkenalkan diri ke medan politik dengan isu seperti ini tidak akan bertahan lama. Carilah isu yang benar-benar kritikal dan menguntungkan rakyat.

“Islam agama yang menjunjung keadilan, namun turut menekankan sikap rahmah. Menggunakan sentimen agama untuk membakar nafsu amarah, menimbulkan rasa tidak senang di kalangan rakyat ketika beberapa insiden keganasan sudah berlaku – adalah tindakan yang tidak menguntungkan sesiapa.

“Sebagai pemimpin kita tidak boleh berterusan menghasut rakyat, tetapi apabila berlaku insiden tidak diingini kita cuba pula cuci tangan tanpa rasa tawadduk dan kesediaan bermuhasabah,” tambahnya.

Baca juga: Demi langsai hutang, lelaki dari Malaysia ini sanggup jual 20,000 koleksi Hotwheels miliknya bernilai RM250K