Niat hanya nak selamatkan kanak-kanak, lelaki terkejut dihadiahkan cincin berlian

Oleh MAISARAH AISYA

Buat baik dibalas baik begitulah tuah seorang pemuda dari Arab Saudi selepas berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak daripada dilanggar.

Tidak hanya itu dia turut dihadiakan pelbagai barangan mewah selepas tular beritanya menyelamatkan kanak-kanak di luar Riyadh.

Menurut portal berita Gulf News, tular rakaman lelaki dikenali sebagai Abdullah Al Anzi yang memberhentikan kenderaan selepas melihat anak-kanak berjalan di tengah jalan raya di bandar Al Kharj, tenggara Riyadh.

Dia dikatakan menghentikan keretanya untuk membolehkan kanak-kanak tersebut melintas dengan selamat.

Ketika Al Anzi berbuat demikian, dia melihat sebuah kereta dipandu laju menuju ke arah kanak-kanak itu.

Tindakan pantas mengalihkan kenderaan sekali gus menghalang kanak-kanak lelaki tersebut dirempuh membuahkan hasil.

Laman berita Arab Saudi, Al Marsd melaporkan bahawa sebuah kedai barangan kemas menghadiahkan sebentuk cincin berlian kepada Al Anzi dan turut memberikan sebutir lagi kepada ibu budak itu.

Seorang ahli perniagaan, Sheikh Hazah Aba Al Rus turut memberikan hadiah berupa wang tunai, pedang, kuda Arab dan jubah tradisional kepadanya.

Al Anzi turut mendapat lebih banyak hadiah termasuk tawaran untuk membaiki keretanya selain insurans dan bekalan petrol selama setahun.

Baca juga: Tak sangka cuaca panas jejas kesuburan lelaki, ini dapatan kajian saintis Singapura