Setiausaha Agung Dap, Anthony Loke mengakui tidak pernah terfikir untuk menyertai MCA meskipun parti tersebut pernah berada di kedudukan tinggi suatu ketika dahulu.
Jelasnya, pendirian tersebut masih tidak berubah selepas menerima gaji ‘tidak cukup makan’ ketika bekerja di ibu pejabat Dap sejurus menamatkan pengajian di universiti.
Anthony juga memiliki persepsi terhadap MCA bahawa parti itu hanya boleh diwakili orang kaya selain tidak mengutamakan kepentingan rakyat, khususnya kaum Cina.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh Anthony ketika diwawancara dalam program bual bicara ‘Podcast Keluar Sekejap’ yang dimuat naik di laman Youtube, baru-baru ini.
“Itu persepsilah bahawa ia (MCA) parti tauke, hanya untuk orang kaya atau mereka yang ada kedudukan dan sebagainya. Jadi hanya persepsi, saya tak kata betul atau salah, tetapi itu persepsi.
“Tak pernah terlintas dalam fikiran saya (sertai MCA) semasa di universiti atau ketika keluar dari universiti walaupun DAP, ibu pejabat bayar saya gaji tak sampai RM2,000. (Selepas) tamat pengajian, saya tak cukup makan untuk bekerja di ibu pejabat DAP.
“Tetapi tak pernah kata nak sertai MCA. Walaupun MCA ketika itu berada di dalam (kedudukan) paling tinggi. Mereka ada banyak kerusi di dalam parlimen, ada ramai menteri, timbalan menteri dan sebagainya,” katanya.
Menurut Anthony, imej DAP yang memperjuangkan keadilan dan golongan tertindas telah membentuk minatnya terhadap parti tersebut sejak di bangku persekolahan.
“Dari zaman kanak-kanak lagi. Sejak di bangku persekolahan sudah sinonim dengan logo roket itu. Jadi ada kawan yang sokong BN, kita akan lawan. Saya bawa poster roket, dia pula bawa poster dacing.
“Jadi kita lawanlah dalam kelas. Itu telah membentuk minat saya dan juga persepsi terhadap parti. Di universiti kalau saya tahu ada kumpulan pelajar lebih pro kepada MCA, saya tak masuk kumpulan itu,” ulasnya.
Anthony turut menafikan dakwaan bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi faktor menyebabkannya menjauhkan diri daripada MCA dan BN.
“Tidak, saya rasa faktornya ialah MCA. Saya bukannya tak suka BN, saya tak suka MCA.” Akui Anthony ketika menjawab soalan hos Keluar Sekejap, Shahril Hamdan.
Sekadar info, program audio bicara itu dihoskan Shahril bersama Khairy Jamaluddin di mana keduanya adalah bekas pemimpin Umno yang merupakan parti komponen BN.
Baca juga: Pernah dibenci ketika era kejatuhannya, P. Ramlee juga jatuh miskin sebelum meninggal