Ingatkan bazar Ramadan rupanya acara moreh, ramai tak sabar nak serbu masjid ini

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman yang memaparkan suasana moreh di sebuah masjid tempatan berjaya mencuri perhatian ramai dan menjadi topik perbincangan hangat di media sosial.

Mana tidaknya, aktiviti moreh yang disertai jemaah masjid di Shah Alam, Selangor itu dijalankan dengan sangat meriah bersama kehadiran pelbagai jenis gerai makanan.

Walaupun suasananya tidak ubah seperti bazar Ramadan, namun semua makanan disediakan itu tidak dijual sebaliknya diberi secara percuma kepada semua jemaah.

Difahamkan, semua makanan khusus untuk jemaah yang ikut serta di dalam aktiviti moreh selepas selesai menunaikan solat Terawih itu ditaja oleh penduduk Shah Alam.

Berdasarkan rakaman dimuat naik di akaun TikTok milik @vndrslc itu, antara juadah yang disediakan adalah rojak, apam balik, aiskrim, kuih donat, cakoi dan sebagainya.

“Terima kasih orang Shah Alam yang menaja makanan, semoga dimurahkan rezeki. Tahun depan jumpa lagi. Insya-Allah Amin,” tulis perakam video di ruangan kapsyen.

@vndrslc

thank you orang2 shah alam yang sponsor makanan, semoga dimurahkan rezeki. tahun depan jumpa lagi insyaAllah amin 🤲🏻🫶🏻 #shahalam #bukitjelutong #ramadan

♬ On Melancholy Hill – Gorillaz

Mengundang perbincangan hangat, tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna kagum melihat suasana moreh di masjid berkenaan yang begitu meriah.

Ramai juga individu turut meluahkan keterujaan mereka menjalankan solat Tarawih di masjid terbabit agar dapat juga ikut serta dalam aktiviti moreh pada tahun hadapan.

“Hari itu baru pergi masjid ini. Meriah betul suasananya. Macam-macam makanan ada,” kata seorang pengguna yang pernah mengikuti aktiviti moreh di masjid itu.

“Patutlah ramai ya hari itu. Tahun hadapanlah cadangnya mahu iftar atau berbuka puasa di sana.” Komen pengguna lain berkongsi rasa terujanya di media sosial.

Baca juga: Tinggal beberapa hari lagi nak sambut bulan Syawal! Ini panduan solat sunat Hari Raya Aidilfitri