Seorang wanita tidak dapat menahan rasa bersalah terhadap suami kesayangannya kerana belum disahkah hamil meskipun sudah berusaha sehabis baik.
Lebih memburukkan keadaan, wanita dikenali yang sebagai Julia itu belum menerima ‘kedatangan’ haid bahkan semenjak daripada hari pertama mendirikan perkahwinan.
Namun, keadaan mula berubah selepas suami Julia membawanya mengunjungi ke rumah rakannya sebelum bertemu dengan wanita lain yang dikenali sebagai Maya.
Berikut kami kongsikan pengalaman Julia yang disahkan hamil anak pertama setelah sekian lama berusaha untuk menghadiahkan zuriat kepada suami kesayangannya.
“Saya sebenarnya seorang wanita yang overthinker. Kerisauan saya mula terkawal sejak berkahwin dengan suami. Bulan pertama perkahwinan, saya sudah tertanya-tanya, mengandung ke? Hal ini kerana haid memang tak pernah datang. Saya beli kit ujian kehamilan senyap-senyap. Apabila negatif, terasa kecewa.
“Ketika kecewa, saya akan cepat-cepat ingatkan diri bahawa Allah itu ada’. Namun selepas bulan kedua, ketiga, keempat, kelima, juga sama. Saya tidak mengandung. Haid saya juga tidak kunjung tiba. Bulan keenam, saya dibawa menziarahi keluarga sahabat suami. Suami bertemu kawannya di ruang tamu.
“Manakala saya diletakkan pula bersama isteri sahabatnya di dapur. Rupa-rupanya, saya dipisahkan dengan suami kerana mahu mengelak adanya percampuran lelaki dan perempuan bukan mahram. Saya merasa sangat kagum dengan situasi tersebut ketika itu. Terdetik dihati saya bahawa inilah yang sepatutnya diamalkan.
“Ketika didapur, isteri kepada kawan suami saya iaitu kak Maya terus tanya soalan. ‘Berapa lama kahwin? Dah ada isi? Merancang ke?’. Saya jawab semua dengan jujur. Kak Maya terus berkata, ‘jika inginkan harta Allah, jangan kedekut untuk keluarkan harta kita’. Kata Kak Maya lagi, sedekah tidak perlu tunggu duit yang banyak.
“Jelasnya, kadang-kadang dengan sebiji gula-gula yang ikhlas kepada seorang anak kecil pun boleh memberi kebahagiaan. Minta doa daripada anak-anak kecil. Lebih-lebih lagi, anak yatim. Kerana doa mereka tiada hijab. Saya mendengar penuh khusyuk. Saya minta Kak Maya teruskan perkongsiannya.
“Kak Maya pula menambah, ‘tetapi, jangan sesekali menguji Allah. Jika masih belum dikurniakan rezeki, jangan sesekali berkata aku dah buat semua tetapi Allah tak bagi apa-apa, itu tanda kita tidak ikhlas. Jangan fikirkan sangat tentang anak. Tetapi doa jangan putus. Minta, harap. Tetapi, serah kepada Allah. Kena selalu bersangka baik’.
“Ya Allah, seperti tamparan hebat bila Kak Maya berkata tentang sangka baik. Saya yang overthinker ini, selalu sahaja berfikiran negatif. Kak Maya sambung lagi, ‘jaga badan. Badan ini amanah Allah. Gemuk tidak dosa, cuma jika ianya membuatkan kita jadi malas beribadah, bukankah rugi?’
“Kali ini bukan tamparan yang kak Maya bagi. Tetapi tendangan tanpa bayang. Berat saya memang berkilo-kilo bertambah selepas kahwin. Selera makan juga semakin menjadi-jadi. Dipendekkan cerita, baru saya tahu kenapa suami mengajak berkunjung ke situ. Untuk memulihkan semangat saya yang hampir lumpuh.
“Alhamdulillah, saya cuba menjadi orang baharu. Tentang anak, saya cuba lupakan. Tetapi tetap terus berdoa. Saya dan suami lebih banyak memberi. Pantang lihat anak kecil, pasti saya berikan sesuatu. Hati rasa tenang bila lihat anak-anak kecil gembira. ‘Doakan acik dapat anak comel macam awak ya’. Itulah yang selalu saya katakan.
“Terhibur juga apabila ada anak kecil yang tanya ‘doa’ itu apa. Sejak itu, saya mula sayangkan badan. Saya minum air tiga liter sehari. Makan ikut keperluan. Lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Saya juga kurangkan menyantap makanan proses dan jajan. Saya rasa sangat-sangat sihat. Badan terasa ringan.
“Sehinggakan, suami menegur bahawa saya nampak berseri-seri. Pada bulan ketujuh, saya haid! Ini haid pertama saya selepas berkahwin. Asbab jaga kesihatan agaknya. Haid saya berketul-ketul, banyak. Saya perasan, period pain juga berkurang. Bulan kelapan, haid saya berhenti semula. Saya sudah dapat agak.
“Sudah tentulah, kerada haid saya tidak teratur. Pasrah. Dalam kepasrahan itu, saya diuji pula dengan penyakit kencing kotor. Bayangkanlah, perasaan ini kuat mahu membuang air kecil. Tetapi bila cangkung, beberapa titik sahaja yang keluar. Saya jadi takut. Saya hubungi suami, dia pun balik tergesa-gesa.
“Masa itu saya menangis takut. Kami terus bergegas menuju klinik. Suami memujuk, ‘sudahlah, sekejap lagi kita tahu penyebabnya. Tak perlu takut sangat’. Saya tanya suami, ‘saya sudah nak mati ke?’. Suami gelak. Saya tanya lagi, ‘kalaulah saya mati nanti abang kahwin lain tak?’. Suami saya gelak lagi kuat.
“Saya cakap kalau suami kahwin lain, saya akan bertukar jadi hantu dan cekik leher dia. Kali ini suami gelak tiada henti. Bila suami lihat saya dengan wajah serius, dia terus senyap. Dia cakap, ‘abang tak cari lain. Kalau awak jadi hantu, awak tetap jadi isteri abang. Macam Nang Nak tu!’. Saya tersenyum. Ketika itu, saya lega.
“Walaupun mustahil, tetapi kata-kata itu sudah cukup membuat hati saya berbunga-bunga. Hilang sekejap kerunsingan dan rasa sakit saya. Sesampainya di klinik, suami duduk di ruang menunggu. Saya pula masuk berjumpa doktor. Alhamdulillah, dapat doktor perempuan. Saya ceritakan masalah kepada doktor.
“Dengan tenang doktor berkata simptom itu memang petanda ada jangkitan kuman pada salur kencing. Doktor hulurkan bekas untuk tadah air kecing bagi pemeriksaan. Setelah beberapa minit, doktor keluar dan berkata, ‘memang ada jangkitan pada salur kencing. Kencing juga sedikit berbau. Ada sedikit darah juga’.
“Aku pun bertanya, ‘bahaya ke doktor?’. Doktor jawab, ‘tidak, cuma kalau tak dirawat, bahaya kepada ibu mengandung’. Saya dengar dan menjawab dengan sayu, ‘mujur saya tak mengandung doktor’. Tiba-tiba doktor cakap, ‘masalahnya sekarang, awak dah mengandung!’. Doktor juga menunjukkan hasil ujian sambil tersenyum.
“Hati saya mula meracau tak tentu, ‘betul ke doktor?’. Suaraku sudah hilang rentak. Mata saya berkaca, cuba kawal diri. Di situ, saya mula mencari kamera tersembunyi. Takutlah jika semua ini sebenarnya prank semata-mata. Sambil ucapkan tahniah, doktor kata kadang-kadang kencing kotor juga boleh menjadi simptom mengandung.
“Saya sudah diawang-awangan. Syukurnya ya Allah. Terjawab doa saya. Saya janji akan menjaga amanah ini baik-baik. Saya pandang perut. Indahnya ada nyawa si kecil di dalam rahim ini. Doktor juga bagi ubat insert untuk bunuh kuman dan minta minum banyak air kosong. Saya hanya mengangguk. Rasa sangat gembira.
“Keluar dari bilik doktor, saya lihat suami. Dalam hati mahu terjerit-jerit ‘abangggg!! Saya mengandung!’. Tetapi bibir saya cuma tersenyum. Selepas membuat bayaran dan mengambil ubat, suami dengan tenang memimpin saya ke kereta. Suami tanya, ‘ok sahaja kan? Tak jadi Nang Nak kan?’. Kali ini saya pula yang tergelak.
“Tetapi dalam hati, ‘iya bang, tak jadi Nang Nak. Tetapi jadi anak’. Suami tanya apa yang doktor cakap. Saya cuma jawab jangkitan kuman. Allah sahaja tahu betapa hati saya terlalu ingin meluahkan berita gembira ini. Tetapi saya sebenarnya inginkan sesuatu yang lebih dramatik. Saya minta suami singgah farmasi untuk beli panadol.
“Tanpa banyak bertanya, suami cuma mengikut. Di farmasi saya membeli kit ujian kehamilan yang paling mahal. Saya difahamkan kit tersebut juga boleh meramal usia janin. Sampai sahaja rumah, kata pada suami saya ingin berehat dan terus masuk ke bilik air. Saya tadah kencing dan keluarlah pada kit itu, ‘pregnant, 2 to 3 weeks’.
“Ya Allah indahnya. Lama saya tenung kit itu. Macam jatuh cinta pula. Tanpa buang masa, saya keluarlah. Suami sedang menonton televisyen, saya terus matikan. Dia terkejut, saya pula mengumpul tenaga. Saya kawal empangan di mata yang hampir pecah ini sebelum menyerahkan kit kehamilan tersebut.
“Suami yang mulanya tenang akhirnya bangun dan terus memeluk. Kami menangis! Beberapa minit jugalah. Habis baju saya lencun. Baju dia pun sama. Ini pertama kali saya lihat dia menangis dengan bersungguh. Saya cuba menyelami perasaan dia sebagai suami. Saya tahu kelelakian dia tercabar.
“Kerana sebelum ini belum berjaya membuat saya mengandung. Disebabkan suami seorang lelaki, dia hanya mampu pendam dan berdoa. Dia lihat perut saya dan usap. Dia pandang saya dan ucapkan terima kasih. Kami berpelukan lagi. Tak ubah macam babak drama yang ditayangkan di waktu Maghrib.
“Sebenarnya sekarang apabila saya mengingatkannya tentang peristiwa peluk-peluk ini, suami kata dia tak ingat langsung! Malulah itu. Begitulah kisahnya. Doa, doa, doa, dan doa. Allah suka bila kita meminta. Merayu dan merintih. Tetapi kena usaha juga. Kita usaha kerana Allah suka orang yang berusaha.
“Bukan kerana usaha penentu kejayaan. Usaha hanyalah asbab! Ketahuilah, segala-galanya hatta ingin mengangkat jari pun, adalah dengan izin Allah! Kepada yang TTC (Trying To Conceive), saya doakan semua bertemu si comel nanti. Jangan pernah letih berdoa. Jika tidak direzekikan, pasti Allah merencana sesuatu yang lebih indah.
“Sebelum ni, saya memang bertekad. Jika tidak mampu memiliki anak sendiri, harap ada rezeki untuk mengambil anak angkat. Kerana saya perlukan doa dari anak-anak jika saya telah tiada nanti. Baiklah, askar-askar saya dah minta makan pula. Saya undur diri dulu ya.” Kongsi Julia satu hantaran di sebuah forum atas talian.
Baca juga: “Tidak kisahlah berkahwin dua, tiga atau empat, tapi betulkan niat dulu” – Ashraf Muslim