Tauke kedai runcit dikenali sebagai Goh Yap Eng yang terlibat di dalam pergaduhan ‘satu lawan satu’ awal bulan lalu kembali membuat kemunculan di platform TikTok.
Difahamkan, tauke terbabit tampil dalam satu sesi temu bual bersama sebuah stesen radio di mana rakamannya turut dimuat naik menerusi akaun TikTok milik @bfmradio.
Goh di dalam temu bual tersebut menegaskan bahawa pergaduhan yang melibatkan dirinya bersama seorang lelaki India itu bukanlah berpunca daripada isu perkauman.
Mengakui menyesal, tauke itu bagaimanapun berpendapat keadaan diri seseorang yang sedang mabuk tidak patut dijadikan alasan untuk bertindak di luar kawalan.
“Insiden ‘one by one gentlemen’ hari itu, bukan kita yang minta. Sebenarnya ini tidak berkaitan dengan kaum atau mabuk. Sebab ada orang ramai kata ia berpunca dari mabuk. Tetapi bukan.
“Setiap orang mabuk ada tahapnya. Contoh kalau saya sendiri mabuk, hanya duduk diam-diam. Saya akan pergi tidur, tonton televisyen ataupun layan (mendengar). muzik sahaja.
“Tetapi kalau seseorang guna minum (mabuk) sebagai alasan, selepas itu dia boleh mengamuk dan buat apa-apa saja, (saya tak setuju) jangan melebihi tahap itu. Kita peniaga harap pelanggan kedai sentiasa harmoni,” katanya dalam video itu.
Dalam perkongsian sama, Goh turut mendedahkan keadaan dirinya selepas rakaman memaparkan pergaduhan yang berlaku di kedai runcit miliknya itu tular di media sosial.
Tauke kedai runcit Kim Leong itu bukan sahaja tidak dapat melelapkan matanya dari waktu rakaman tular malah sehingga hari dirinya dibebaskan oleh pihak polis daripada lokap.
“Pada hari Rabu malam ketika video itu tular, saya tidak boleh tidur sampai Khamis. Selepas itu, hari Khamis pula pihak polis menahan saya. Duduklah di dalam lokap selama dua hari.
“Sampai Sabtu petang selepas dikeluarkan daripada lokap, saya tak boleh nak tidur. Jadi kalaulah diberi pilihan, saya tak mahu kejadian (bergaduh di kedai runcit) hari itu berlaku,” ulas Goh lagi.
Pemilik kedai runcit yang diwarisi oleh bapanya itu turut memberikan nasihat kepada pengamal seni mempertahankan diri supaya tidak menggunakan ilmu untuk bergaduh.
Goh Yap Eng juga berharap agar semua rakyat Malaysia kekal bersatu dan harmoni selain mengingatkan supaya insiden tersebut tidak dikaitkan dengan isu perkauman.
“Saya nak nasihat kepada semua orang yang belajar Taekwando ataupun Kung Fu, janganlah ajak orang bergaduh. Itu bukanlah perangai orang yang belajar seni mempertahankan diri.
“Harapnya kejadian ini tidak menjadi isu perkauman. Malaysia sepatutnya harmoni, rakyatnya harus bersatu. Jangan gaduh-gaduh, sebab tak berbaloi.” Tegas lelaki itu.
Baca juga: Pernah kena ‘scam’ sampai hilang RM1k, Bell Ngasri nasihatkan orang ramai berhati-hati