Kebelakangan ini kecoh di media sosial selepas tular sebuah kenderaan bernombor pendaftaran asing dipercayai dari Singapura sedang mengisi minyak petrol bersubsidi, RON95.
Rakaman tular di media sosial sejak 16 Jun lalu itu mencetus pelbagai reaksi negatif dalam kalangan netizen.
Pemilik video berkenaan mendakwa bahawa warga Singapura itu cuba menipunya, mendakwa nombor plat kenderaan tersebut adalah dari Sabah.
Tidak berdiam diri, pihak berkuasa menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka lantas mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha stesen minyak tersebut yang didapati menjual RON95 kepada warga asing.
“Susulan itu sepasukan penguat kuasa KPDN ke stesen terbabit bagi menjalankan siasatan lanjut dan hasilnya kita mengesyaki terdapat satu kesalahan dibuat oleh pengusaha premis itu.
“Kesalahan disyaki dibuat jam 4.35 petang Ahad lalu, dan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki disyaki warga asing membayar RM23.17 melalui transaksi ‘outdoor payment terminal’ (OTP) iaitu pembayaran melalui kad prabayar untuk membeli minyak berkenaan,” katanya Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar dalam kenyataan semalam.
Norena berkata, perbuatan itu sekali gus melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21(1).
“Kesalahan ini boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang mana jika didapati bersalah pengusaha stesen minyak bakal berdepan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Tindakan kes dibuat selaras dengan arahan yang dikuatkuasakan pada 17 Jun 2022 yang membabitkan larangan penjualan petrol RON95 kepada semua kenderaan bernombor pendaftaran asing,” katanya.
Katanya, KPDN Melaka tidak sesekali akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan membabitkan larangan penjualan petrol bersubsidi kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.
“KPDN Melaka memberi amaran keras kepada semua pengusaha stesen minyak di negeri ini supaya mematuhi semua arahan dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya.
Baca juga: Pegang ‘Master’ tapi ternak lembu, wanita tak kisah dikritik, anggap rezeki ada dimana-mana