Warga emas terpaksa panggil orang kampung tolong kirakan duit yang disimpan 10 tahun dalam bilik

Oleh KIM SYAZIE

Seorang warga emas di Kota Serang, Banten, Indonesia yang sedang sakit terlantar terpaksa memanggil orang kampung untuk membantunya mengira wang tunai yang disimpan di kediamannya.

Perkara itu mengejutkan keluarga dan jiran tetangga apabila dilaporkan lebih 100 juta rupiah (kira-kira RM30,177) wang simpanannya ditemui dalam bilik itu.

Lebih mengejutkan, wang tersebut kesemuanya sudah tersimpan selama 10 tahun tanpa pengetahuan sesiapa.

Portal Agensi melaporkan, rahsia itu terbongkar selepas Sarneli, 75, memberitahu anak saudaranya, Ola Sahala, 55 tentang lokasi penyimpanan wang miliknya.

Dia menceritakan hal itu kerana sudah tidak boleh berjalan dan sakit serta hanya terbaring di atas katil sejak dua bulan lalu.

“Pada malam itu, pak cik beritahu wangnya ada di katil dan minta dikira bersama penduduk setempat,” kata Ola Sahala.

Sarneli sebelum ini hidup sebatang kara di rumahnya, di Lingkungan Karundang Lor, Cipocokjaya, Kota Serang.

Lelaki itu dipercayai mengumpul wang berkenaan sejak lebih 10 tahun tahun lalu dan ia diperoleh hasil usahanya menjual itik peliharaan, bantuan kerajaan dan sumbangan penduduk setempat.

Sarneli mengikat wang simpanannya menggunakan getah kemudian dibungkus dengan plastik dan disimpan dalam bilik.

Ada beberapa plastik dimasukkan ke tong bekas cat selain disimpan di atas dan di bawah tilam, serta katil.

Sementara itu, wang syiling dimasukkan ke tin kuih dan tiada seorang pun ahli keluarga tahu adanya wang itu dalam bilik Sarneli.

Wang itu dikira sejak jam 1 pagi hingga 7.30 malam dan lebih 7 juta rupiah (kira-kira RM2,080) dalam keadaan rosak.

Manakala, sebanyak 18,270,000 rupiah (kira-kira RM552) dalam keadaan masih baik, dengan pecahan 1,000 rupiah (kira-kira 0.30 sen), 2,000 rupiah (kira-kira 0.60 sen) , 5,000 rupiah (kira-kira RM1.50), 10,000 rupiah dan 20,000 rupiah (kira-kira RM6).

“Ada juga wang 50,000 rupiah (kira-kira RM15) dan 100,000 (kira-kira RM30) dengan campuran wang baru dan lama,” kata Ola.

Ketika dikira dan diasingkan, jumlah wang yang masih baik adalah 104 juta rupiah (kira-kira RM30,902) sedangkan yang rosak 10 juta rupiah (kira-kira RM3,005).

Ola pun hairan bagaimana bapa saudaranya berani menyimpan wang sebanyak itu di rumah dengan kondisi pintu yang tidak pernah dikunci.

Baca juga: “Suami culas bayar nafkah, dia mahu menyimpan duit untuk masa depannya sendiri”