Pembeli rasa tertipu, nampak jem hampir melimpah rupanya hanya disapu hujung roti

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pembeli merasa tertipu apabila mendapati jem di dalam beberapa keping roti ban dibelinya hanya diletakkan pada bahagian hujung sahaja.

Sedangkan, pembeli dan rakan-rakannya tertarik untuk membeli roti yang dilipat dua tersebut selepas melihat keadaan jem seakan melimpah daripada bun berkenaan.

Bagaimanapun selepas lipatan dibuka, mereka mendapati peniaga hanya ‘menyapu’ jem berwarna ungu dipercayai perisa beri biru di hujung kanan dan kiri ban sahaja.

Manakala pada bahagian tengah roti bun itu pula hanya diisi oleh peniaga dengan inti berwarna putih dipercayai krim perisa vanila di dalam kadar yang sangat sedikit.

Rakaman ketika pembeli ‘membongkarkan’ muslihat peniaga terbabit turut dikongsi menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di akaun media sosial TikTok miliknya.

“Dia (peniaga) tipulah, RM12 kot. Nampak cantik, dia dapat menipu pandangan mata kita. Tetapi mulut (rasa) kita tak boleh tipu,” kata pembeli di dalam hantaran tersebut.

Pembeli berkenaan mendakwa bahawa satu pek roti yang dipercayai mengandungi empat keping bun itu langsung tidak berbaloi berikutan dijual dengan harga RM13.

Namun pemilik video tidak mendedahkan nama kedai mahupun lokasi bun tersebut dijual dalam perkongsian yang berjaya meraih lebih dari setengah juga tontonan itu.

Tinjauan mendapati rata-rata pengguna mengakui peniaga seperti itu sememangnya wujud dan ramai pengguna pernah melalui situasi sama ketika membeli roti di kedai.

Beberapa individu turut menyifatkan peniaga roti bun tersebut sebagai kedekut dan ingin mengaut keuntungan besar dengan meletakkan inti jem di dalam kadar sedikit.

“Orang kita kalau meniaga memang macam ini. Sebabnya nak pergi haji balik hari,” kata seorang pengguna turut berkongsi rasa tidak puas hati kepada para peniaga.

“Selalu kena macam ini kalau beli dekat hospital. Kitanya tengah lapar. Boleh pula dia letak inti dekat tepi-tepi sahaja,” kongsi pengguna menceritakan pengalamannya.

“Aku pernah kena, beli donat dekat stesen minyak. Harga RM15 satu bekas. Tiga biji. Gigit-gigit, sekali roti burger berlubang cicah coklat. Setahun aku menyumpah.” Kesal pengguna lain.

Baca juga: Ini 5 tempat orang dulu-dulu suka sorok duit, cuba tengok di kampung mana tahu masih terselit