Tak sah korban kalau beri orang miskin sikit, kita pula bawa balik sebesen daging – Ustaz Azhar Idrus

Oleh KIM SYAZIE

Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus memberi teguran buat orang ramai yang menyertai ibadah korban namun tidak berilmu dalam membuat pengagihan daging tersebut.

Beliau berkata, ramai yang tidak sah ibadah korbannya kerana mereka tidak memberi daging mentah kepada orang miskin, malah menuntut untuk diberi keseluruhan bahagian bagi kegunaan diri sendiri.

Katanya, jika daging tersebut dimasak untuk dijamu kepada tetamu yang datang ke rumah, ia boleh membatalkan ibadah korbannya.

“Semua dia nak (bahagian korban) untuk masak ajak kawan-kawan datang rumah makan.

“Tak sah korban. Korban, afdalnya ambil sedikit, sebesen beri kepada orang miskin. Kita beri orang miskin sedikit, sebesen bawa balik ke rumah,” katanya menerusi perkongsian video di YouTube, seperti dilapor Kosmo!.

Ustaz Azhar berkata, ibadah korban juga tidak sah apabila berniat meminta bahagian korban untuk dijadikan barbeku atau makan-makan.

Beliau mengingatkan orang ramai agar daging korban perlu diagihkan secara mentah kepada mereka yang layak terutamanya golongan miskin.

“Tengok orang korban dia nak korban, tapi tak berilmu. Dia nak makan banyak, banyak bawa balik sebab budak-budak nak buat sate malam ini, esok buat barbeku (BBQ).

“Selepas itu nak masak jamu kawan-kawan pejabat di rumah. Itu bukan korban, baik beli di pasar bawa balik masak.

“Korban itu, kamu sembelih, daging itu diberi makan kepada orang susah,” tegasnya.

Sebelum ini, kecoh di media sosial selepas tersebar tangkap layar mesej dipercayai dihantar seorang peserta wanita yang mengkritik cara pembahagian daging lembu korban yang diuruskan oleh badan bukan kerajaan, Madad.

Wanita itu juga mengatakan enggan menghalalkan agihan yang dibuat oleh pasukan sukarelawan Madad atau Murthadha Dakwah Centre, baru-baru ini.

Atas sebab itu, Madad  bertindak menyerahkan semua bahagian, termasuk kulit dan telinga lembu yang dikorbankan, selepas kaedah pembahagian sembelihan itu dipertikaikan peserta terbabit.

Baca juga: Rupanya bukan senang nak tanam cili, tapi kalau ikut step betul, ‘confirm’ menjadi!