Seorang penceramah bebas tampil berkongsi rasa bimbang apabila novel berbahasa Melayu yang berunsur lucah masih berada di pasaran buku tempatan.
Lebih menggusarkan, novel seperti itu sangat laris di pasaran malah pembelinya juga terdiri daripada kalangan para pembaca bahawa umur terutamanya pelajar sekolah.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook, penceramah yang dikenali sebagai Akhi Fairuz Al-Jengkawi itu berkongsi beberapa gambar bagi membuktikan dakwaannya.
Gambar tersebut memaparkan adegan tidak senonoh atau berunsur lucah ditulis di dalam sebuah novel ‘cinta’ yang dikatakan cukup popular di pasaran buku tempatan.
“Novel ini penulisnya bernama Anjell. Sangat popular (di pasaran). Ramailah budak sekolah beli. Dicetak 80,000 naskhah untuk dijual dalam pesta buku tempoh hari. Laku keras.
“Novel ini dicampur aduk ilmu kimia, ilmu bidang penerbitan, islamik dan babak ‘soft porn’ (berunsur lucah). Ramai cakap babak macam ini biasa-biasa sahaja. Tetapi tidak bagi kami.
“Kalau budak perempuan sekolah rendah suka baca buku yang ada babak macam ini dan anggap biasa malah berfantasi, maka ‘bukan biasa’ lagi. Sudah ada yang tegur sebelum ini. Dikeluarkan tetapi masuk semula (di pasaran),” katanya.

Akhi Fairuz yang turut bergelar aktivis terkenal itu juga melahirkan kerisauan sekiranya kelucahan seperti ini terus dinormalisasi dan berakar umbi dalam masyarakat sehingga hilang rasa sensitiviti.
Susulan penularan perkongsian tersebut, ramai juga ibu bapa berkongsi kerisauan yang sama apabila anak-anak membawa pulang buku seperti itu ke rumah ekoran pihak perpustakaan terlepas pandang.
Rata-rata ibu bapa juga memutuskan untuk memeriksa novel dibeli anak mereka selepas membaca perkongsian Akhi Fairuz kerana khuatir turut terjerumus dengan perkara negatif itu.