“Suami cakap aku tak jaga diri, baju macam alas kaki tapi beri nafkah tak seberapa”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak menyangka, lelaki yang telah dipilih sebagai suami rupa-rupanya suka bersikap lepas tangan sepanjang mereka mendirikan rumah tangga.

Lebih memburukkan keadaan, lelaki itu juga tergamak mengutuk isteri sendiri kerana tidak menjaga penampilan sedangkan nafkah yang diberi hanyalah cukup-cukup makan.

Berikut perkongsian wanita yang bangkit untuk menjaga kesihatan mentalnya demi anak selain berniat mahu mencari kebahagiaannya sendiri jika suaminya enggan bekerjasama.

“Aku Jun, seorang ibu dan isteri. Kadang-kadang tak faham mengapa suami pilih aku dari berjuta wanita di luar sana untuk dijadikan isteri. Tetapi setelah sekian lama kami berkahwin, aku tertanya pula macam mana boleh terpilih dia sebagai suami daripada berjuta lelaki di luar sana. Persoalan ini telah membawa kepada persoalan lain.

“Persoalan yang lebih besar adalah ‘what do you bring to the table?’. Di dalam rumah tangga, perlu memberi dan menerima. Aku mengaku perkara itu pernah ada di dalam perkahwinan kami tetapi sekarang sudah hilang. Aku rasa diri terasing dalam kamus hidup suami. Aku pernah tanya rancangan dia selepas ada anak nanti.

“Suami cakap dia tak kisah kalau aku jadi suri rumah sebab tugas mencari nafkah itu adalah tanggungjawabnya. Dia minta jaga anak sahaja. Namun realitinya berbezalah dari jangkaan. Setiap kali mentua tanya mengenai pilihan aku menjadi suri rumah, dia diam sahaja. Akulah yang kena jelaskan sendiri tanpa sokongan dari dia.

“Kadang-kadang aku pun, biarkan sahaja ibu bapa suami nak cakap apa sekali pun. Sejujurnya selepas pantang memang aku ada mencari kerja. Dengan latar belakang pelajaran dan pengalaman bekerja, memang aku selalu dapat panggilan temu duga. Tetapi apabila diminta pengesahan hadir temu duga, aku terpaksa tangguhkan.

“Macam yang jadi sebelum ini, suami memanglah tak bantah kalau aku nak bekerja. Tetapi apabila minta jagakan anak sementara aku pergi temu duga, dia buat macam malas nak layan. Bukan tak nak minta bantuan keluarga sendiri atau mentua. Tetapi kalau melibatkan urusan peribadi keluarga kecil kami, memang aku tutup rapi.

“Tak semua orang faham situasi and boleh tolong kita. Ada yang membantu, namun hujungnya akan memfitnah, menghina, menyindir atau buat anggapan buruk sebab kita minta ‘tolong’. Ingat lagi masa aku pantang. Keluarga sendiri kata nak jaga aku. Tetapi telinga ini dengar keluhan hari-hari. Akhirnya aku pantang sendiri.

“Apabila cuti semester habis and aku perlu balik ke universiti, mak mentua pula beri tawaran nak jagakan anak buat sementara. Tetapi apabila aku telefon, hantar mesej atau buat panggilan telefon, ibu mentua tak jawab. Kalau jawab pun dia akan cakap tengah sibuk uruskan anak aku. Katanya aku telefon tak kena tempat.

“Kalau tanya bila ibu mentua ada masa terluang, dia cakap tak payah risau. Katanya mak jagakan anak kamu, fokus belajar sudahlah. Tetapi apabila terlalu fokus belajar sebab tinggal berbaki dua semester, dia pula cakap dekat suami yang aku ini tak ada telefon langsung. Ibaratnya aku melupakan status sendiri sebagai mak orang.

“Anak duduk dengan mak mentua sampailah aku habis belajar. Selepas itu, aku buat keputusan untuk jaga anak semula. Lagipun doktor sahkan anak aku alami masalah perkembangan dan berkeperluan khas. Nanti orang kata kita kesempatan pula. Jadi aku jaga anak dan menjadi suri rumah. Bermulalah pertikaian dalam rumah tangga.

“Masalah ini membawa hubungan kami kepada tahap paling dingin. Aku dicop boros walaupun hanya meletakkan anak sebagai keutamaan sepanjang bergelar isteri. Aku hanya menggunakan duit suami untuk membeli barang dapur sahaja. Selebihnya aku pakai duit sendiri. Sebab aku ada berniaga kecil-kecilan secara sambilan.

“Tetapi suami memang tak pernah nak ambil tahu. Malah duit nafkah juga perlu buat rundingan sampai sekarang. Sebab aku tahu, dengan pendapataan dia yang cukup-cukup makan memang tak tertampung. Sebelum ini, aku keluar perbelanjaan RM250 untuk diri sendiri. Pakaian pula belanja sampai RM300. Tetapi tidak selepas kahwin.

“Sampaikan sekarang ada orang tegur yang aku ini kusut. Suami siap sokong orang luar yang kata aku kusut selepas menjadi suri rumah. Siap cakap, ‘Betullah, awak ini sudahlah tak reti bersolek, jaga diri. Baju juga sudah boleh buat alas kaki’. Kalau ada majlis keluarga, memang aku selalu kena bahan sebab kerap pakai baju yang sama.

“Tetapi kalau minta suami ‘buat sumbangan’ untuk membeli barang-barang aku, dia cakap isteri dia ini tak faham situasi. Asyik aku sahaja yang tak kena. Jadi kali ini aku tak nak cakap guna mulut. Tunjuk dengan tindakan. Aku mula bekerja. Letaklah anak dekat pengasuh yang mahal sedikit. Lantaklah orang kata aku gila ke apa.

“Aku hanya mahu menjaga kewangan dan kesihatan mentalku sendiri. Kalau dahulu, suami hanya utamakan majlis keluarga dia sahaja. Jadi aku buat perkara yang sama. Aku minta izin dan dia benarkan. Jadi aku pergi dan buat tak tahu sahaja kalau dia terasa hati. Selama ini ingat dia seorang yang ada keluarga. 

“Aku kalau tak pergi majlis keluarga suami tetap akan sumbang duit sedikit untuk dia dan anak pergi. Rutin aku sekarang macam menggila sedikit. Kalau penat, aku bawa anak berjalan selepas ambil dia dari pengasuh. Aku terlampau muda untuk gila. Anak perlukan mak yang ada mental sihat. Sekarang suami cop aku degil, tak dengar kata.

“Memang memanjang salah isteri. Aku rasa sudah buat sehabis baik. Kalau dia tak puas hati lagi, maaf aku terpaksa angkat kaki daripada perkahwinan ini. Sebab aku lebih sayangkan kesihatan mental sendiri. Bayangkan, aku masuk kerja pukul 9 pagi. Balik jam 5 petang. Tetapi sebelum kerja, aku kena masak bekal kami tiga beranak.

“Selepas itu selesaikan perkara wajib termasuklah kemas rumah. Selepas itu barulah aku hantar anak kepada pengasuh. Hari sabtu dan ahad, aku uruskan pesanan dari pelanggan untuk perniagaan aku yang kecil-kecilan itu. Anak aku bawa. Bulan-bulan aku akan balik rumah keluarga sendiri untuk uruskan temu janji mak dekat hospital.

“Nanti katalah aku ini berat sebelah. Padahal mak ayah aku kadang-kadang datang ke tempat asuhan anak kami untuk uruskan budak itu. Suami? Sibuk bekerja katanya. Apa dia nak sebenarnya? Padahal aku selalu beri ucapan atau hadiah setiap kali majlis hari jadi belah keluarga dia. Siap minta maaf kalau tak hadir dalam majlis tersebut.

“Setiap tahun, aku sanggup balik ke kampung suami beberapa kali semata-mata nak tengok keadaan mak ayah mertua. Nak anak ada hubungan yang baik dengan atuk dan neneknya. Aku pergi walaupun suami tak ikut sebab kerja. Sekian, dari seseorang yang pernah tersakiti.” Tulis Jun (Bukan nama sebenar) menerusi sebuah forum atas talian.

Baca juga: Sudah bernazar, lelaki nekad beri seekor lembu harga lebih RM5k sebagai mas kahwin buat isteri