“10 tahun kahwin baru aku periksa telefon suami, tak sangka ini yang ada dalam ‘history’ internet dia”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tergerak hati untuk memeriksa telefon bimbit milik suami kesayangannya selepas mendirikan rumah tangga selama 10 tahun.

Meskipun tidak pernah merasa curiga terhadap suaminya, wanita terbabit mengakui tidak dapat mempercayai lelaki itu 100 peratus kerana mereka berkerja di daerah berbeza.

Berikut perkongsian seorang isteri yang menyingkap sisi sebenar suaminya selepas memeriksa carian internet di dalam telefon pintar lelaki itu selepas 10 tahun menikah.

“Sebenarnya aku ada perkara nak diluahkan mengenai kehidupan perkahwinan yang menjalani Perhubungan Jarak Jauh (PJJ). Aku dengan suami kerja di sektor kerajaan. Tetapi rezeki kami dapat kerja berjauhan. Tiadalah jauh mana. Masih di dalam negeri sama, cuma berbeza daerah. Sudah mohon pertukaran, tetapi belum ada rezeki.

“Disebabkan jarak agak jauh, kami putuskan untuk PJJ. Anak-anak semuanya tinggal dengan aku. Seminggu sekali, suami akan pulang ke rumah aku pada hujung minggu. Suami aku, orangnya memang baik. Keluarga kecil kami merupakan keutamaan dia. Pendek kata, setiap kali balik memang dia akan serah jiwa raganya untuk keluarga.

“Urusan anak semuanya aku serahkan bulat-bulat kepada suami. Bukan aku suruh, tetapi dia yang minta. Memang setiap minggu, aku rehat betul. Hanya masak dan urus pakaian. Lain-lain urusan seperti kemas rumah dan anak-anak, semuanya dia buat. Apabila suami rajin macam itu, tipulah kalau tak bertambah rasa sayang kepadanya.

“Walaupun hampir 10 tahun berkahwin, hubungan kami baik-baik sahajalah. Pendek kata, bahagia. Alhamdulillah. Tetapi yang buat aku dilema adalah orang sekelilingku. Mereka suka menakutkan aku dengan isu besar yang melanda banyak rumah tangga akhir-akhir ini. Betul, isu curang. Dekat tempat kerja, aku ada beberapa orang kawan.

“Mereka suka menghasut aku. Cakap suami aku seronok jadi bujang selepas PJJlah, bakal dapat madulah, atau ada teman wanita dekat pejabat. Katanya, lelaki pandai berlakon. Zaman sekarang pula ramai penyondol. Wanita bersuami goda lelaki orang pun ada. Macam-macam lagilah. Jadi fahamlah hati aku jadi macam mana.

“Sebelum ini, aku pernah juga berbincang dengan suami. Andai kata dia suka sesiapa, tolong beritahu aku. Tetapi jangan sesekali menipu. Sekali tipu, aku akan pastikan dia ‘hilang’ banyak perkara termasuklah anak-anak. Aku faham keperluan lelaki. Tetapi aku tak nak suami sampai melakukan dosa. Paling penting aku tak nak hati ini sakit.

“Sakit kerana dikhianati oleh orang yang aku sayang. Tetapi setakat ini suami masih boleh dipercayai. Dia hanya ketawa selepas aku cakap macam itu. Suami cakap, dia tak berani menipu aku sebab percayakan kifarah dosa. Siap cakap ramai kenalan dia bercinta atau kahwin lebih dari satu. Tetapi tak bertambah baik pun hidup mereka.

“Katanya hanya bertambah serabut sahaja. Perkara paling suami takuti adalah menjadi seorang bapa yang tidak dihormati anak. Kalau dia buat perangai buruk, tentu anak-anak akan hilang hormat. Dia tak mahu perkara itu berlaku. Tetapi biasalah, manusia yang toksik memang tak boleh tengok orang senang. Mereka akan terus menghasut.

“Akhirnya aku menjauhkan diri daripada rakan sekerja tersebut. Tipulah kalau hati ini tak rasa goyang langsung. Suami aku pula boleh dikatakan ada rupa. Dia juga berapa kali sahaja cakap sayangkan aku sepanjang kami berkahwin. Boleh kira dengan jari. Sambut hari-hari penting atau beri hadiah memang tak pernahlah.

“Jadi selepas dihasut, kadang-kadang bermain juga di fikiran sama ada suami betul-betul sayangkan aku atau sebaliknya. Sebelum ini, tak pernahlah aku ambil berat. Tetapi lama-lama, syaitan berjaya juga hasut dan buat aku ragu-ragu dengan suami. Satu hari, aku curi-curi tengok telefon suami di tengah malam. Telefon dia ada kata laluan.

“Tetapi aku pernah curi-curi tengok masa suami masukkan kata laluan. Jadi malam itu aku cuba buka. Sepanjang kahwin, ini adalah kali pertama aku godek telefon dia. Dalam sosial media tiada tanda-tanda dia curang. Dekat aplikasi Whatsapp pula, dia dengan rakan sekerja perempuan bercakap dalam nada profesional. Tak menggedik.

“Selepas itu aku pergi dekat carian internet pula. Tengok ‘sejarah’ carian dia penuh dengan kandungan dari mekanik kereta atau artikel berita terkini sahaja. Godek lagilah sampai jumpa carian mengenai panduan bahagiakan dan menyenangkan hati isteri, anak-anak dan seangkatan dengannya. Banyak artikel mengenai keluarga sahaja.

“Masa itu barulah tersedar yang aku sudah berburuk sangka dengan suami. Aku juga mencari-cari dosa dia yang memang tak wujud itu. Tengah malam itu juga aku kejut dia untuk meminta ampun. Suami pesan, jangan pernah rasalah hidup ini lama. Esok lusa, Allah boleh tarik nyawa. Jadi buat apa hidup kalau nak dengar cakap orang?

“Boleh bahagia ke asyik berprasangka buruk kepada orang lain? Letak Allah nombor satu di dalam hati. Insya-Allah kalau manusia yang lukakan hati, kita tak rasa terlalu sakit. Dunia bukan pengakhiran, akhirat tempat pembalasan. Orang yang hasut kita itu sebenarnya hati dia sakit dan rosak. Dia yang hadap manusia-manusia jahat.

“Sampai mereka ingat semua manusia jahat. Mungkin suami dialah yang curang, jadi dia ingat semua lelaki juga sama. Hakikatnya ramai lagi lelaki yang baik. Tetapi mana ada orang baik nak mengaku baik? Ramai sahaja suami baik yang wujud di dunia ini, masih takutkan Allah. Panjang lebar dia bebel. Tak pasal dapat ceramah percuma.

“Jadi pesanan aku kepada pembaca jika mereka ada orang terdekat yang terpaksa PJJ,  janganlah menghasut perkara buruk sehingga menggoyahkan rumah tangga mereka. Sebaiknya doakanlah perkahwinan mereka aman dan diberikan rezeki untuk hidup bersama suatu hari nanti. Memanglah wujud pasangan PJJ yang curang.

“Tak payah tunggu PJJ, tidur sebantal juga boleh curang dan bercerai-berai. Tetapi ramai juga pasangan yang kekal setia, sama-sama mengharungi susah senang dan kerasnya kehidupan. Sama-sama mengharapkan dapat hidup sekali di dalam rumah yang sama. Macam aku, bukan mudah. Jadi doakan kami dan semua pasangan PJJ.

“Semoga satu hari nanti, semua pasangan dapat tinggal bersama. Yang kecam dan suruh berhenti kerja itu, aku harap dapat bersabar dan jangan laju sangat jari menaip. Kau tak faham betapa penting pengorbanan kami kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.” Luah wanita itu di sebuah forum atas talian.

Baca juga: Tak marah suami kahwin lain, wanita anggap kehadiran madu sebagai hadiah dalam kehidupan