Lelaki Singapura menyamar jadi ‘bodyguard’ diraja Selangor, dapat tiket konsert Kpop percuma

Oleh MALAYSIADATELINE

Tindakan seorang lelaki warga Singapura menyamar sebagai pengawal peribadi kerabat diraja Selangor mengundang padah apabila didenda sebanyak S$5,000 (sekitar RM 17,012.44).

Difahamkan, bapa berusia 49 tahun itu bertindak sedemikian untuk ‘mengiringi’ anak perempuannya menghadiri konsert kumpulan terkenal Korea Selatan iaitu Enhypen di Stadium Tertutup Singapura pada Januari lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan dikatakan telah membeli dua keping tiket untuk anaknya dan seorang lagi rakan remaja tersebut ke Konsert Jelajah Dunia Enhypen 2024.

Lelaki terbabit bagaimanapun risau akan keselamatan anak remajanya itu sebelum membuat keputusan untuk menghadiri konsert tersebut dengan menyamar sebagai pengawal peribadi kepada puteri diraja Selangor.

Penganjur konsert, Anschutz Entertainment Group (AEG) kemudian dihubungi oleh lelaki terbabit pada 20 Januari lalu dengan mengatakan ada seorang puteri kerabat diraja Selangor akan menghadiri acara tersebut.

Mengenalkan dirinya sebagai pengawal peribadi diraja, lelaki terbabit meminta akses istimewa untuk masuk lebih awal ke konsert tersebut dengan tujuan mengawasi keselamatan dan ‘melindungi puteri’ diraja itu.

Memandangkan lelaki berkenaan tidak mempunyai tiket, penganjur memintanya untuk hadir lebih awal pada hari konsert dilangsungkan bagi mengambil pas kemasukan percuma, lapor Channel News Asia.

Lelaki Singapura itu kemudian mengenakan sut pada hari kejadian agar kelihatan seperti pengawal peribadi diraja yang sebenar malah rancangannya berjalan lancar pada hari pertama kerana penganjur percaya akan muslihatnya.

Penganjur konsert bagaimanapun mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena sebelum melakukan siasatan dan mendapati bahawa remaja diiringi lelaki itu bukanlah dari keluarga diraja Selangor.

Ketiga-tiga mereka akhirnya ditahan polis Singapura pada hari kedua konsert berlangsung susulan tindakan penganjur yang membuat laporan selepas mencurigai pasangan bapa dan anak tersebut.

Lelaki terbabit kemudian mengaku bersalah di mahkamah dan memohon hukuman diringankan kerana menyesal dengan tindakannya selain mengakui hanya mahu memastikan keselamatan anak perempuannya.

Warganegara Singapura itu dikenakan denda sebanyak S$5,000 pada 29 Julai sebaik mengaku bersalah atas pertuduhan menipu dengan penyamaran manakala hukuman pertuduhan kedua menceroboh dengan sengaja pula sedang dipertimbangkan.

Lelaki terbabit bagaimanapun tidak boleh dinamakan untuk melindungi identiti anak perempuannya kerana mereka yang berumur di bawah 18 tahun dilindungi Akta Perlindungan Kanak-kanak dan Orang Muda (CYPA).

Baca juga: Wanita Mat Saleh dapat perhatian Tengku Ampuan Pahang lepas kongsi resipi spaghetti sambal petai