Ibu dakwa jumpa ketulan jijik dalam air kotak, bersyukur anak tak habiskan minuman

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita bergelar ibu berjaya mencuri perhatian selepas memuat naik gambar ketulan jijik yang dijumpainya di dalam sebuah air kotak minuman berperisa coklat.

Menurut wanita berkenaan, air kotak tersebut tidak dihabiskan oleh anaknya ketika di sekolah dengan alasan minuman itu tidak sedap dan membawanya pulang ke rumah.

Walaupun sempat menegur perbuatan anaknya, wanita itu bagaimanapun bersyukur kotak berkenaan tidak dibuang kerana dapat melihat sendiri kandungan di dalamnya.

“Sangat menjijikkan! Hari ini saya menyediakan bekal seperti biasa untuk anak saya ke sekolah. Kemudian selepas dia balik, saya dapati bekas bekal makanan tengah harinya masih berat.

“Saya bertanya kepada anak mengapa, dia memberitahu air minuman kotak itu tidak sedap untuk diminum hari ini. Saya menasihatinya untuk membuang sahaja air kotak itu lain kali kalau tak habis.

“Kerana saya risau nanti beg sekolahnya basah berikutan air kotak itu sudah dibuka. Tetapi sekarang saya rasa nasib baik jugalah dia tidak membuangnya,” kata wanita itu dalam satu hantaran di platform Facebook.

Benda asing yang dijumpai oleh ibu berkenaan di dalam air kotak minuman anaknya.

Jelas wanita itu, ketulan itu dijumpainya ketika membuka kotak minuman berkenaan kerana ingin menuang baki air ke singki sebelum membuangnya dalam tong sampah.

Ketulan jijik yang tergumpal di dalam kotak air minuman tersebut dipercayai telah menjadi punca anaknya merasa kurang enak sehingga tidak mampu menghabiskannya.

“Sebelum membuang kotak ke dalam sampah, saya mahu menuang baki minuman itu ke dalam singki dahulu. Tetapi saya dapati ada sesuatu yang tebal di dalam kotak itu. Saya pun segera mencapai telefon dan mengambil video sebagai bukti.

“Lihat apa yang saya jumpa selepas memotong kotak itu. Saya juga tak tahu benda apa tetapi ia kelihatan sangat menjijikkan! Boleh sesiapa beritahu saya apakah itu?.” Soal sang ibu.

Wanita terbabit turut memuat naik rakaman di dalam hantaran sama memaparkan tarikh luput produk tersebut yang masih berbaki beberapa bulan dari hari kejadian.

Dalam perkembangan terbaharu, syarikat pengeluar air kotak minuman itu dikatakan telah menghubungi wanita terbabit untuk mengambil kotak dengan ketulan tersebut.

Wanita itu juga menolak tawaran syarikat berkenaan yang mahu memberikan satu karton air kotak jenis sama secara percuma kerana tidak berani meminumnya lagi.

Baca juga: Mengejutkan, pemenang emas Filipina dedah ibu bolot semua wang kemenangannya sejak 2020